16 KES BAHARU DILAPORKAN, PALING RENDAH SEJAK PKP

Last Updated on

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac,  dengan 16 kes dilapor sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini adalah 6,742 kes, menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 1,410 kes.

Menurut beliau daripada jumlah kes positif baharu itu, sembilan kes adalah dalam kalangan bukan warga Malaysia.

“Daripada 16 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat tiga kes import dilaporkan dengan 13 kes penularan tempatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. 

Beliau turut berkata seramai 110 pesakit COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,223 kes, iaitu 77.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dicatat setakat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 109. — BERNAMA

Leave a Reply