DUA BULAN UNTUK PULIH BATU KARANG PULAU PAYAR

LANGKAWI, 3 Jun – Tempoh masa kira-kira dua bulan lagi diperlukan bagi membolehkan keadaan batu karang di Taman Laut Pulau Payar pulih semula selepas dilanda fenomena El Nino sejak Mac lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata meskipun penurunan suhu air laut telah bermula sejak bulan Mei lepas, namun batu karang di kawasan itu perlu masa untuk pulih sepenuhnya.

“Semasa fenomena El Nino (Mac dan April lepas), suhu air laut antara 30 dan 31 darjah celsius secara berterusan, menyebabkan lumut-lumut yang menyeliputi batu karang ini mati,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya perubahan cuaca mulai Mei lepas berjaya mengelakkan impak yang lebih teruk terhadap batu karang di kawasan itu setelah terdapat beberapa tanda ia sudah mengalami keadaan kelunturan kesan dari fenomena cuaca panas melampau itu.

“Dengan adanya hujan, suhu air laut telah menurun antara 27 dan 28 darjah celsius dan jika ini berterusan, keadaan batu karang di sini boleh pulih semula dalam masa lapan minggu,” katanya.

Kelunturan karang adalah perubahan warna pada jaringan karang daripada warna kecoklat-coklatan atau kehijau-hijauan menjadi warna putih pucat. Kematian alga simbiotik iaitu zooxanthellae yang terdapat pada karang yang berfungsi memberi pigmen warna dan nutrient pada karang akan mengakibatkan karang mengalami kelunturan.

Wan Junaidi yang melawat Pulau Payar baru-baru ini berkata langkah-langkah yang diambil oleh Jabatan Taman Laut Malaysia untuk mengawal jumlah pelancong untuk datang ke Pulau Payar juga telah membantu proses pemulihan ini.

“Jabatan ini mengehadkan kedatangan pelancong kepada 400 orang sahaja pada satu-satu masa dan biarpun ada aktiviti snorkeling dan berenang di sekitar pulau Payar, ia tidak banyak mengganggu proses untuk memulihkan keadaan batu karang di pulau ini,” katanya.

Pulau Payar yang terletak kira-kira 40km ke selatan Pulau Langkawi merupakan satu daripada 42 kawasan maritim yang telah diwartakan sebagai taman laut di Malaysia, dan memiliki kekayaan biodiversiti yang tinggi. Sejak diwartakan sebagai taman laut pada 1994, Taman Laut Pulau Payar yang meliputi empat pulau – Pulau Payar, Pulau Lembu, Pulau Kaca dan Pulau Segantang – menerima kedatangan pelancong yang jumlahnya mencapai hampir 200,000 orang dari dalam dan luar negara setiap tahun.

Satu kajian oleh Universiti Utara Malaysia pada 2011 telah meletakkan nilai keseluruhan kegiatan ekonomi di Taman Laut Pulau Payar mencecah kira-kira RM174 juta setahun.

BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s