PRK SG BESAR: BN PERLU 80 PERATUS KELUAR MENGUNDI

13177838_956013187798799_8007490336445416023_n

SUNGAI BESAR, 17 Jun – Berbaki kurang 24 jam sebelum tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar berakhir, Barisan Nasional (BN) memerlukan ‘magis’ bagi memastikan sasaran parti untuk memancing majoriti undi lebih besar mampu dicapai, Sabtu ini.

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik sasaran itu, namun beberapa pemimpin BN sewaktu berkempen di sini melaungkan keyakinan parti untuk mencapai sasaran itu berbanding majoriti 399 undi yang diraih penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada Pilihan Raya Umum 2013.

Jika berdasarkan suhu kempen dan faktor calon, sasaran BN itu dilihat realistik, tetapi sejauh mana parti itu berada di kedudukan selamat, semuanya bergantung kepada pengundi Sungai Besar.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata satu daripada cara BN berada pada kedudukan selamat dan seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan ialah dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi keluar mengundi.

Katanya sasaran itu dilihat tidak sukar dicapai kerana dijangkakan akan berlaku ‘perubahan angin’ dalam kalangan pengundi Cina di Sekinchan yang majoriti mereka sebelum ini menolak BN pada pilihan raya umum lalu.

Menjelas lanjut, Azmi berkata perubahan angin itu antaranya didorong oleh isu pembebasan nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selain kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mengelirukan pengundi di kawasan itu.

“Jika peratusan keluar mengundi rendah maka harapan BN boleh bergantung kepada perubahan cita rasa pengundi Cina di Sekinchan, selain faktor Menteri Besar Selangor yang berbelah bahagi.

“Maka besar kemungkinan pengundi Pakatan Harapan juga keliru dan ini memberi manfaat kepada Barisan Nasional,” katanya kepada Bernama, di sini.

Azmi mengakui peratusan keluar mengundi amat berkait rapat dengan jumlah majoriti undi, namun pengundi atas pagar turut memainkan peranan penting dalam menentukan jumlah majoriti itu. Selain itu, dengan liputan yang cukup meluas terhadap PRK ini, beliau menjangkakan ramai pengundi Sungai Besar yang tinggal di luar kawasan akan pulang mengundi pada Sabtu ini.

“Sekali lagi media telah memberi liputan yang agak meluas dan jika dikaitkan dengan peratus yang keluar mengundi tinggi, maka ada harapan 18 Jun ini akan menjangkau lebih 85 peratus,” katanya.

Bagi Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Fuad Mat Jali, meletakkan bacaan undi majoriti yang mungkin diperoleh BN kali ini ialah sekitar 1,000 undi.

“Jumlah itu sebenarnya adalah sudah memadai memandangkan pelbagai isu semasa yang memberi sedikit tekanan kepada BN pada pilihan raya ini,” katanya. Bagaimanapun katanya BN mungkin boleh mencapai majoriti undi yang lebih tinggi jika mereka benar-benar menggembleng jentera parti untuk turun padang secara menyeluruh selain membawa pulang pengundi yang tinggal di luar.

“Jika BN berjaya membawa pulang pengundi luar, mendapat 30 peratus undi atas pagar, mendapat undi ‘swing’ sekitar 30 peratus daripada pengundi Cina di Sekinchan dan semua pengundi di kawasan majoriti Melayu keluar mengundi barulah BN boleh bercita-cita untuk dapat majoriti yang lebih tinggi,” katanya.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Budiman Mohd Zohdi dengan calon PAS Dr Abdul Rani Othman dan calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur.

PRK itu diadakan berikutan kematian Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikoter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s