Cameron-Highlands

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Sebuah Pasukan Bertindak Khas telah ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani kejadian pencerobohan hutan dan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pasukan yang diketuai oleh MKN itu dianggotai Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta beberapa agensi penguat kuasa yang lain.

“Pasukan ini akan membuat pemantauan selama 24 jam di beberapa kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti menjadi kawasan penerokaan haram,” katanya kepada Bernama di sini ketika diminta mengulas mengenai status pencerobohan hutan dan tanah di Cameron Highlands.

Shahidan berkata, MKN akan memastikan kawasan hutan di Cameron Highlands tidak diterokai oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan mereka tidak mempunyai hak untuk menerokanya.

“Jika mereka ingkar dan terus menceroboh hutan, tindakan undang-undang yang tegas akan diambil pada mereka yang terlibat,” katanya.

Shahidan berkata pihaknya akan memusnahkan segala struktur penempatan kecil yang dibina penceroboh hutan supaya tidak ada lagi kawasan baru yang diterokai.

“Sekarang ini timbul isu, apabila ada pendatang asing melarikan diri ke sana, mereka cuba teroka hutan negara ini. “Mereka ini dikesan mempunyai dalang tertentu yang sudah kaya-raya,” katanya.

Shahidan berkata sebahagian besar daripada mereka itu telah melarikan diri ke Lojing apabila melihat pihak berkuasa membuat pemantauan di kawasan hutan.

“Atas sebab itu, saya minta kepada kerajaan negeri untuk memohon bantuan daripada kerajaan pusat supaya tindakan bersama dapat diambil bagi mengekang kegiatan itu,” katanya.

BERNAMA