JANGAN PANDANG RENDAH ANCAMAN IS : MILITAN SUDAH BERSEDIA!

Lebih 20 kali – sejak 2014 hingga 20 Jun lalu, ketika sempat mengikuti pembentangan tertutup dan eksklusif berhubung Ancaman IS Terhadap Keselamatan Negara. Bahaya gerakan ini memang jelas sesuatu yang sentiasa berkembang dan semakin berbahaya.

IS sudah bertapak dan bersedia dalam pelbagai senario.

Pembentangan slide oleh Bahagian Counter Terorisim Bukit Aman, yang sentiasa dikemas kini dalam tempoh tiga tahun itu cukup untuk memberi petunjuk: Ancaman IS tidak pernah pudar dan mengendur!

Dari kisah dua remaja sekolah pondok berusia 16 tahun, kelahiran Johor dan Kelantan yang menyusup masuk ke Selatan Thailand dan berjuang mengangkat senjata, sampailah kisah seorang gadis berambut perang kelahiran Kedah yang berjaya menyusup masuk ke Syria dan menjadi pejuang IS – antara maklumat yang disalurkan Bahagian Counter Terrorism sebagai bukti: Rakyat Malaysia tanpa mengira profil dan personaliti menjadi sasaran gerakan itu untuk dikaderkan.

Malahan, sembilan percubaan untuk melancarkan serangan bom di tempat awam di negara ini, turut membuktikan betapa seriusnya operasi dan motif IS untuk menghuru-harakan negara.

Keupayaan militan IS tempatan menghasilkan bom nitrat dengan adunan pelbagai material yang mudah diperolehi, satu lagi fakta gerakan teroris itu sudah berada pada tahap kedua: Bersedia melancarkan serangan maut pada bila-bila masa.

193 tangkapan membabitkan pelbagai lapisan profil terdiri daripada pengrekrutan awam, malah anggota tentera – satu fakta IS di negara ini sudah berada di frasa: Memiliki kepakaran militan dan ‘berkemampuan melakukan serangan pengeboman dan persenjataan!’

SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay

Ketua Bahagian Counter Terorism Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay tidak pernah bosan dan mengalah dalam mendedahkan operasi demi operasi yang dijalankan pihak polis, serta takah demi takah kemajuan yang dikesan dalam gerakan IS di negara ini.

“Setakat ini kita sentiasa selangkah di hadapan militan IS tempatan. Jadi kita dapat membanteras perancangan mereka. Namun, kalau sekali saja mereka berjaya, kesannya membawa padah,” katanya setiap kali tampil membentangkan ceramah dalam Dialog Isu Negara yang dianjurkan secara konsisten selama tiga tahun oleh Biro Tata Negara dan Pejabat Perdana Menteri.

Bayangkan, dua remaja yang mengangkat senjata berjuang di Selatan Thailand berusia 16 tahun. Tetapi sepanjang ditahan, langsung tidak menunjukkan rasa takut atau bersalah. Kedua-dua pelajar itu yakin, berjuang mengangkat senjata adalah jihad ke jalan Allah.

Selain 193 yang berjaya ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan Langkah-Langkah Khas (Sosma), terdapat lebih 200 rakyat negara ini berada di Syria bersama berbagai kumpulan militan termasuk IS. Ini jumlah yang berjaya dikesan kerana mereka berani mengisytiharkan pembabitan melalui media baharu tanpa sedikit pun rasa gentar.

Ada di antaranya bekas penagih dadah, pelajar agama, pendidik dan doktor perubatan. Satu scenario profil yang memberi impak bahawa pengaruh ideologi Negara Khalifah tajaan IS tiada had sosial dalam meraih sokongan.

Ideologi membina sebuah negara berdasarkan Gerakan Panji-Panji Hitam dengan Kalimah Allah dan Muhammad itu, sangat mudah menarik pesona bagi golongan yang mudah diseleweng.


Justeru, ancaman terkini melalui video yang tersebar di media sosial sejak dua hari lalu tidak boleh dipandang enteng.

Individu seperti Mohd. Rafi Udin atau Abu Ain yang kini berada di Raqqa, Syria tidak boleh dilihat sebagai gertakan atau sekadar bercakap besar. Dia bukan seorang militan yang sekadar cuba untuk membangkitkan semangat IS ketika kubu kuat gerakan itu berjaya dijatuhkan di Falujah, Iraq.

Sejak seminggu lalu, Falujah yang menjadi simbol kenegaraan pada IS di Iraq berjaya dirampas Tentera Iraq dengan bantuan strategi dan serangan udara Amerika Syarikat.

Setelah kejatuhan Falujah, kini Tentera Iraq dan AS menumpukan pula frasa serangan terhadap Mosul, bandar yang dianggap ibu negara IS.
Abu Ain barangkali bukan jurucakap terbaik IS bagi Khatibah Nusantara – wilayah yang dirancang IS membabitkan pembentukan satu negara Islam merangkumi Indonesia, Malaysia, Borneo, Selatan Filipina dan Selatan Thailand.

Abu Ain kelahiran Negeri Sembilan yang menyertai IS di Syria sejak 2014, secara berani dan terbuka menyebarkan videonya dengan seruan:

“Bunuh mereka di mana sahaja yang anda jumpa… Jika anda ada kereta, langgarlah mereka… Gunakan senjata dan pisau untuk tikam terus dada mereka!”

Malah, tegar menghasut penyokong dan militan IS tempatan supaya memerangi polis:

“Kepada anda yang ada di Bukit Aman, anda tidak lagi aman. Kami bersedia untuk sembelih anda…. Apabila kami datang, rakan-rakan kami di negara ini juga akan memburu anda habis-habisan!”

Jangan pandang enteng. Kalau anda berkesempatan mengikuti ceramah serta pendedahan ratusan slide dan video yang dikuliahkan Datuk Ayob anda pasti menerima isyarat yang jelas.

Militan IS tempatan dan polis kini sedang berada dalam ‘permainan tikus dan kucing’. Bezanya, buat masa ini polis selalu memenangi permainan ini.

Namun seperti kata Datuk Ayob : SEKALI SAHAJA IS MENANG, PADAHNYA AMAT BESAR! 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s