BALIK PULAU, 25 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung fatwa penggunaan vaksin.

Menyatakan demikian, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata: “Saya mahu memberi jaminan semua vaksin adalah halal dan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

“Vaksin perlu menjadi satu kemestian untuk semua orang kerana ia menghalang individu daripada mendapat penyakit berjangkit yang mengancam nyawa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan Aidilfitri kepada 800 penerima di SMK Seri Balik Pulau di sini hari ini.

Beliau berkata ramai ibu bapa mendapat maklumat yang salah daripada internet berhubung vaksin yang menyatakan ia tidak halal ekoran khabar angin yang mendakwa ia mengandungi DNA haiwan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa agar tidak mempercayai ‘Dr Google’ membuta tuli, sebaliknya mendapatkan nasihat pakar mengenai vaksinasi.

Dr Hilmi berkata bilangan ibu bapa muda yang enggan anak mereka divaksin semakin meningkat kerana mereka lebih mempercayai ‘Dr Google’ – walaupun mereka tidak mengetahui apa yang mereka baca.

“Bilangan pasangan muda yang enggan anak mereka mendapat vaksin semakin meningkat setiap tahun dan ini adalah satu tindakan jenayah terhadap kanak-kanak,” katanya.

Dr Hilmi berkata KKM menyokong usaha untuk menghalang pendaftaran prasekolah kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi vaksin. Beliau berkata vaksin hanya dilakukan sekali seumur hidup dan suntikan itu adalah percuma di bawah kementerian itu.

Baru-baru ini dua kanak-kanak dari Melaka dan Kedah meninggal dunia disebabkan komplikasi jangkitan akibat kegagalan menerima imunisasi difteria, penyakit disebabkan bakteria Corynebacterium diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan boleh dielak menerusi vaksin.

BERNAMA