KONSEP ‘KEPIMPINAN MELALUI TELADAN’ BERJAYA JIMATKAN ELEKTRIK BANGUNAN KERAJAAN

SAVE ENERGY

PUTRAJAYA, 25 Julai – Konsep ‘kepimpinan melalui teladan’ yang diamalkan kerajaan terutamanya dalam aspek penjimatan elektrik di bangunan-bangunannya, bukan sahaja menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga yang cekap di negara ini, malah menterjemahkan keseriusan kerajaan dalam mengurangkan perbelanjaan.

Buktinya, pada tahun lepas, sebanyak 17,849,247kWj elektrik berjaya dijimatkan hasil penggunaan tenaga secara cekap oleh 25 kementerian melibatkan 54 buah bangunan, iaitu kira-kira RM6.5 juta penjimatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata perangkaan tahun lepas menunjukkan peningkatan berbanding 2014 yang mencatatkan penjimatan sebanyak 14,758,218kWj elektrik, dianggarkan bersamaan RM5.4 juta.

“Anggaran penjimatan itu berdasarkan 1kWj didarabkan dengan tarif purata 0.465 sen, harus diingat bahawa tarif elektrik sering berubah maka bil elektrik tidak dapat bandingkan sebelum dan selepas oleh kerana berlaku kenaikan tarif dalam tempoh-tempoh tersebut.

“Tetapi secara relatifnya kita dapat jimat banyak, lagi kurang penggunaan elektrik, semakin banyak sumber tenaga dijimatkan. Ia akan memberi impak dan manfaat jangka masa panjang kepada generasi masa hadapan kerana apabila kurang bahan api diperlukan, maka kurang tenaga diperlukan,” jelas beliau.

LANGKAH CEKAP TENAGA

Ahmad Fauzi berkata sasaran kerajaan untuk 2014 adalah pada kadar lima peratus. Namun, atas keberkesanan konsep dan inisiatif yang diperkenalkan, kerajaan berjaya mencapai lebih baik daripada peratusan tersebut.

Penggunaan tenaga secara cekap merupakan salah satu daripada 11 langkah yang digariskan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam sejak 1 Jan 2014, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Disember 2013.

“ST diminta memantau sama ada sasaran itu dicapai atau tidak. Jika dibandingkan dengan 2013 yang merupakan tahun ‘baseline’, kerajaan berjaya jimat 6.8 peratus penggunaan elektrik pada 2015, manakala pada 2014 sebanyak 5.6 peratus. Ini tidak mengejutkan kerana kerajaan benar-benar serius laksanakan inisiatif berkenaan.

“Malah jika dilihat pencapaian hingga Mei tahun ini, kalau diteruskan dengan konsisten, kita boleh capai 9.2 peratus penjimatan penggunaan elektrik berbanding 2013,” katanya.

Beliau berkata ini adalah hasil pelaksanaan konsep cekap tenaga di bangunan kerajaan yang terbahagi kepada dua kaedah utama iaitu penjimatan tenaga tanpa melibatkan kos, yang merangkumi sikap kakitangan awam, antaranya mematikan semua suis, komputer dan alat peranti lain yang tidak digunakan serta menetapkan julat suhu penghawa dingin pada paras 24 darjah Celcius sepanjang hari operasi.

Langkah lain adalah dengan memulih peralatan elektrik di bangunan-bangunan kerajaan termasuk di Putrajaya dengan menggunakan atau menukar kepada peralatan yang cekap tenaga seperti lampu-lampu.

“Sebelum sebarang perubahan dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, kita perlu tahu kedudukan tenaga sekarang, dari segi status penggunaannya dengan mencari punca pembaziran, menilai proses, prosedur atau kelengkapan yang digunakan, jika boleh diubahsuai atau ditukar kepada sistem yang lebih cekap… maka 2013 dijadikan ‘baseline’ sebelum proses penjimatan bermula pada 2014.

“Setelah audit dijalankan, kita dapat kenalpasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kecekapan tenaga di bangunan kerajaan. Justeru, kerajaan melaksanakan promosi dan program nasihat untuk mengubah cara penggunaan tenaga oleh kakitangan awam agar lebih berhemah dan tidak membazir,” jelasnya.

Inisiatif yang diambil sedikit sebanyak berjaya memupuk budaya penggunaan tenaga dengan lebih cekap di kalangan kakitangan awam.

GERAN INISIATIF

Ahmad Fauzi berkata pihaknya menjangkakan banyak lagi penjimatan dapat dicapai dengan pelaksanaan program-program baharu terutama untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Beliau berkata ia akan melibatkan proses audit atau retrofit bangunan-bangunan kerajaan sepanjang tempoh 2016 hingga 2020. Katanya malah dalam RMK-11 juga kerajaan meluluskan geran bernilai RM165.5 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kecekapan tenaga yang bukan sahaja melibatkan sektor awam, tetapi juga sektor swasta, komersial dan industri.

“Di sektor komersial dan industri, geran akan diberi untuk membantu pihak berkenaan melakukan audit kecekapan tenaga, manakala di sektor kerajaan, geran diluluskan untuk audit dan ‘retrofitting’, pemasangan lampu dan alat cekap tenaga di bangunan kerajaan.

“Pastinya kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian, kita capai penjimatan dengan agak mudah pada dua tahun ini tetapi dengan peredaran masa, agak sukar untuk tingkatkan lagi. Kaedah lain untuk kurangkan penggunaan tenaga elektrik perlu dicari jika hendak penjimatan lebih tinggi,” katanya.

Malah, di bawah Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2016-2025, yang merupakan pelan jangka panjang dengan pendekatan holistik bagi meningkatkan tahap kecekapan tenaga dalam tiga sektor utama iaitu industri, komersial dan domestik, kerajaan mensasarkan pengurangan lapan peratus penggunaan elektrik menjelang tahun 2020.

“Untuk tahun ini sahaja kerajaan meluluskan sebanyak RM15 juta untuk melaksanakan audit dan ‘retrofit’ bangunan, maka dengan semua inisiatif yang disusun, bukan sahaja sektor kerajaan, malah dijangkakan banyak penjimatan juga dapat dicapai di sektor lain pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan tenaga dengan cekap adalah amat penting bagi menjamin kelangsungan bekalan tenaga pada masa hadapan yang akan memanfaatkan generasi masa itu, selain menjimatkan banyak perbelanjaan.

“Kalau tidak gunakan tenaga berlebihan, kita tidak perlu membina janakuasa lagi bagi menampung permintaan yang semakin tinggi kerana pembinaan janakuasa memerlukan belanja berbillion-billion ringgit. Sekiranya dalam tempoh 10 tahun ini negara dapat menjimatkan tenaga dalam peratusan yang tinggi, pembinaan janakuasa tidak perlu lagi.

“Kita tidak mahu penggunaan sumber tenaga negara menjadi semakin lama semakin susut dan tidak terkawal, juga tidak mahu orang ramai membazir penggunaan kWj, itulah objektif utama,” katanya.

BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s