CATATAN KEMBARA DHUYUFURRAHMAN 2

Paullina Oppei Paulus @ Ainur Mahdiyah Zahra Abdullah

Nama asal saya Paullina Oppei Paulus. Saya seorang saudara baharu dengan nama Ainur Mahdiyah Zahra bte Abdullah.

Apabila terpilih menjadi petugas haji media pada tahun ini, terus terang saya merasa sangat teruja. Semenjak bekerja di TV Alhijrah, saya sangat menantikan giliran untuk ke tanah suci sebagai petugas media. Pun begitu, semenjak 2010, peluang itu tidak pernah hadir, sehinggalah tahun ini.

Petugas media Tabung Haji dari pelbagai agensi

Namun dalam kegembiraan saya untuk hadir ke tanah suci sebagai dhuyufurrahman, timbul sedikit rasa cuak. Saya tidak punya ilmu agama setinggi gunung, malah sejengkal juga belum tentu ada. Lantas terbit kebimbangan, bagaimana jika urusan haji saya tidak sempurna? Saya tekadkan hati. Saya betulkan niat. Insya Allah, Dia akan permudahkan segala urusan saya. Hujung-pangkalnya adalah diri saya sendiri.

Walau datang sebagai petugas media, saya juga perlu memastikan ibadah saya terjaga. Dua tanggungjawab yang berbeza tetapi akhirnya berpaksi kepada niat yang sama kerana Allah SWT.

Ainur Mahdiyah (kanan) bersama petugas media TV Alhijrah lain.

Saya menjejakkan kaki ke Madinah dengan perasaan yang sangat gembira. Dalam hati saya memasang niat, ingin sentiasa bersolat di Masjid Nabawi jika berkesempatan. Maklum saja, saya hadir sebagai petugas, adakalanya tidak dapat bersolat di masjid.

Masjid Nabawi, Madinah

Madinah sentiasa menyimpan getarnya yang tersendiri. Merdunya suara bilal yang melaungkan azan, indahnya seni bina Masjidil Nabawi, wanginya Raudah yang sentiasa segar menanti kedatangan jemaah yang berpusu-pusu mahu berdoa di dalamnya, Madinah sangat istimewa.

Di tengah-tengah Masjid Nabawi

Lebih istimewa kerana di sinilah bersemadinya Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan, kekasih Allah.

Masjid Nabawi tidak pernah sunyi, datarannya sentiasa meriah dengan kehadiran jemaah yang bersantai menanti Maghrib dan Isyak. Isi Nabawi sentiasa dibisik tasbih yang gemersik sambil mengalun zikir memuji dan memuliakan Ilahi.

Dataran Masjid Nabawi yang penuh, dilindungi payung gergasi

Dapat memasuki Raudah berkali-kali membuatkan saya merasa sangat bersyukur. Dalam satu kesempatan, selesai solat Zohor, saya dan teman-teman disapa oleh seorang petugas kebersihan di Masjid Nabawi katanya “Ibu, itu pintu ke Raudah sudah dibuka”.

Tanpa buang waktu, kami terus menerpa pintu yang hampir ditutup dan merayu kepada pengawal yang bertugas agar membenarkan kami masuk. Mungkin kasihan melihat kami yang sangat berharap, dia akhirnya membenarkan kami melepasi pintu masuk ke Raudah.

Subhanallah, antara rasa tidak percaya dan gembira, air mata saya bergenang tanpa saya sedari. Bukan tidak pernah memasuki Raudah sebelum ini, tetapi inilah pertama kali saya melihat Raudah lapang kerana ianya dibuka tanpa diketahui ramai jemaah. Seakan-akan eksklusif untuk sesiapa yang ada pada ketika itu.

Untuk yang pernah ke Raudah di bahagian wanita, pasti tahu betapa padatnya tempat ini jika dikunjungi pada waktu yang ditetapkan.

Buku doa kiriman rakan-rakan di TV Alhijrah.

Kesempatan yang indah dari Ilahi saya gunakan sepenuhnya untuk berdoa. Sujud menangis dan memohon ampun atas segala dosa. Merayu untuk dimakbulkan segala doa dan mendoakan sahabat-sahabat yang berkirim doa.
Sungguh, itu adalah antara momen paling indah dalam hidup saya. Selama hampir dua jam saya duduk di Raudah, berdoa dan membaca Al Quran diatas karpet hijau yang semerbak dengan wangian attar Raudah.

Karpet hijau di dalam Masjid Nabawi menandakan kawasan Raudah.

Mungkin ini adalah kesempatan sekali dalam seumur hidup saya, dapat duduk berlamaan di dalam Raudah. Terima kasih ya Allah kerana sudah menghadirkan momen yang sungguh indah untuk saya.
Dua hari lalu, saya meninggalkan Madinah dengan rasa kesedihan. Kembara iman ini harus diteruskan di Mekah.

Petugas media TV Alhijrah berihram.

Dalam ihram dan rasa berdebar, mulut saya tidak berhenti mengucap “Labbaikallahumma labbaik, labbaikala syarika laka labbaik, innalhamda wanni’mata, laka walmulk, la syarika lak.”
Aku datang menjadi tetamu Mu ya Allah! Terimalah aku ya Allah!

(bersambung)

Masjidil Haram dari jauh.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s