Singapura dakwa ILS tidak timbulkan risiko

Last Updated on


KUALA LUMPUR  – Singapura mendakwa rancangan negara itu memperkenalkan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar tidak mendatangkan risiko keselamatan terhadap operasi di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, lapor The Straits Times semalam.

Akhbar itu melaporkan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menegaskan demikian sebagai reaksi  pada kenyataan rakan sejawatnya dari Malaysia, Anthony Loke yang dimuatkan dalam video berdurasi 90 saat di laman Facebooknya Selasa lalu.

Dalam catatan Facebook itu Loke meminta Singapura mengubah laluan penerbangan yang dipertikaikan untuk laluan masuk sebelah selatan ke lapangan terbang dan menarik balik pengumuman mengenai penyiaran tatacara ILS yang dijangka berkuat kuasa pada 3 Jan depan.

“Saya telah menonton video itu dan  merupakan video yang baik. Saya memuji pasukan yang menghasilkan video tersebut tetapi saya fikir video itu mengandungi beberapa ketidaktepatan,” Khaw dipetik sebagai berkata.

Khaw yang merujuk kepada komen Loke tentang kebimbangan keselamatan berkaitan sekatan ketinggian yang dicadangkan berkata,  “Itu bukan cara ILS berfungsi  kerana ILS ialah seperti auto pilot dalam pesawat, ia adalah alat untuk juruterbang. Juruterbang sentiasa boleh melakukan intervensi manual jika kebimbangan mengenai keselamatan memerlukannya. Juruterbang mengekalkan kawalan penuh sepanjang penerbangan. “

Tambah beliau,  perkara utama ialah jika ia adalah kebimbangan teknikal, dan melalui semangat muhibah beliau  yakin penyelesaian teknikal yang saling memuaskan dapat dicapai.

“Tetapi saya fikir situasinya seolah-olah menggunakan alasan teknikal ini untuk mencetuskan desakan untuk mengubahpengaturan ruang udara,” kata Khaw.

Rentetan isu ini bermula  pada 4 Disember  lalu apabila Loke  memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memaklumkan kepada Singapura mengenai rancangan Malaysia untuk mengambil balik ruang udara yang diwakilkan di selatan Johor daripada republik itu secara berperingkat.

Peringkat pertama dijangka dilaksanakan menjelang akhir 2019 sementara peringkat seterusnya ialah pada 2023.

Khaw menegaskan bahawa pengaturan itu “telah berjalan dengan baik dengan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan di rantau ini”, jadi beliau “benar-benar bingung” dengan pendirian Malaysia baru-baru ini.

Akhbar Singapura itu juga melaporkan bahawa sejak penggantungan penerbangan, Firefly meminta slot pendaratan sebelumnya di Lapangan Terbang Changi dikembalikan.

Khaw berkata, Firefly tahu bahawa  pihak berkuasa Singapura memindahkan penerbangan itu  ke Seletar dan pihak Firefly telah memeriksa Seletar.

“Mereka berpuas hati dengan Lapangan Terbang Seletar dan hasilnya, beberapa bulan lalu, mereka memohon slot di Seletar dan kami mengalu-alukan mereka di sana dan slot mereka di Changi telah dilepaskan dan diagihkan kepada syarikat penerbangan lain. “

Malaysia Airlines mengadakan 20 penerbangan turboprop setiap hari – ke dan dari Subang, Ipoh dan Kuantan – di LapanganTerbang Changi, sepatutnya memindahkan operasi ke Lapangan Terbang Seletar pada 1 Disember.

Leave a Reply