Dua rakyat China antara 6 melecur

Last Updated on

KUALA LUMPUR – Dua rakyat China antara enam mangsa yang melecur teruk di bahagian muka, tangan dan kaki apabila sebuah kapal malim yang berada pada lima batu nautika barat daya Pulau Sailu dekat Batu Pahat, Johor meletup semalam.

Utusan Online melaporkan, Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman memberitahu,  mangsa yang terlibat dalam kejadian yang berlaku pukul 6 petang itu berusia antara 29 hingga 48 tahun.  Letupan itu berlaku ketika mereka menjalankan kerja-kerja pemindahan barang.

Beliau berkata,  hasil siasatan awal menunjukkan kapal malim yang membekalkan keperluan logistik kepada kapal tangki yang berlabuh di situ dipercayai meletup semasa menghampiri sebuah kapal tangki Gas Infinity.

“Ekoran kejadian letupan itu , empat pekerja kapal malim dan dua pekerja kapal tangki mengalami kecederaan semasa sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan barang,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung insiden itu.

Sejurus tiba, Mohamad memberitahu pihaknya mendapati kesan letupan pada kapal malim yang bertambat pada sebelah kapal tangki Gas Infinity.

“Kesemua mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Punca kejadian masih dalam siasatan oleh Zon Maritim Batu Pahat,” katanya.

Leave a Reply