Arab Saudi kutuk campur tangan AS


KUALA LUMPUR – Arab Saudi mengutuk resolusi  Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan bantuan ketenteraan di Yemen yang diketuai oleh Arab Saudi dan mengaitkan Putera Mahkota negara itu terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Kementerian Luar Arab Saudi menganggap  tindakan  itu sebagai campur tangan AS  yang hanya berdasarkan tuduhan yang tidak dibuktikan kesahihannya, lapor BBC hari ini.

Bagaimanapun resolusi itu  hanya simbolik dan tidak mungkin menjadi undang-undang. Walaupun begitu Arab Saudi telah memberi amaran kepada Presiden Donald Trump mengenai campur tangan AS terhadap dasar luar Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan yang siarkan  oleh  Saudi Press Agency, Kementerian Luar Arab Saudi berkata,  Arab Saudi mengutuk keras tindakan Kongres  AS kerana mengambil ketetapan berdasarkan perkara yang tidak benar.

“Arab Saudi menolak sebarang  campur tangan luar terhadap hal ehwal dalam negara Arab Saudi,”  demikian menurut kenyataan Kementerian Luar itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Arab Saudi sebelum ini telah menegaskan bahawa pembunuhan Jamal Khashoggi adalah satu perbuatan jenayah yang tidak mencerminkan dasar kerajaan ataupun institusi tertentu.

Bagaimanapun setakat ini AS belum memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi itu.

Undian hari Khamis adalah kali pertama  Kongres AS  mengundi untuk menarik pasukan tentera AS dari konflik ketenteraan di bawah Akta Kuasa Perang 1973.

Bagaimanapun Presiden Trump  secara konsisten mempertahankan hubungan dagang  dan ketenteraan antara  AS dengan Arab Saudi.

Kongres juga sebulat suara meluluskan resolusi  mengaitkan secara langsung Putera Mahkota  Mohammed bin Salman  dalam pembunuhan , Jamal Khashoggi pada 2 Oktober  lalu di Konsulat Arab Saudi di Istanbul   sambil  menegaskan bahawa Arab Saudi  bertanggungjawab terhadap pihak yang terlibat dengan kes itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *