Rumah keluarga Adib jadi tumpuan

Sanak saudara dan orang ramai memenuhi rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kuala Kedah seawal pukul 7 pagi ini (Gambar Utusan Online)

KUALA LUMPUR 18 Disember – Berita anggota Bomba dan Penyelamat,  Muhammad Adib Mohd Kassim, 24  yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi tersebar dengan meluas hingga ke kampung-kampung di sekitar rumah keluarganya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Utusan Online melaporkan, sejak pukul 7 pagi lagi  sanak saudara dan orang ramai berkumpul di rumah keluarganya menunggu jenazah dibawa pulang dengan helikopter dari Lapangan Terbang Subang.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi di IJN selepas  mendapat kecederaan parah akibat dipukul dalam kejadian rusuhan di  di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu

Difahamkan orang ramai mendapat maklumat kematian Muhammad Adib menerusi laman sosial yang  sejak awal pagi dipenuhi dengan ucapan takziah kepada keluarga dan menyiarkan gambar Allahyarham yang berseragam.

Rata-rata  pemilik akaun Facebook memuat naik  berita sedih itu  di laman masing-masing dan meminta  pihak yang bertanggungjawab ke atas Allahyarham dikenakan hukuman yang setimpal.

Portal itu memberitahu, antara yang  turut berada di pekarangan rumah keluarga Allahyarham adalah para pegawai dan anggota bomba yang turut membuat persediaan bagi menyambut ketibaan jenazah sambil dibantu penduduk setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *