TETAPAN HARGA RUNCIT PETROL DITANGGUH

Kerajaan ambil kira permintaan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

Harga produk petroleum kekal buat beberapa hari

Keperluan untuk mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menyebabkan kerajaan terpaksa menangguh hasrat untuk melaksanakannya, setidak-tidaknya sehingga minggu pertama 2019.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan media yang dikeluarkan, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan buat masa beberapa hari ini.

RON97 kekal pada paras RM2.50 seliter, RON95 pula kekal RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Jelasnya, penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baru 2019.

Selain menentang penetapan harga runcit bahan api, PDAM turut meminta agar kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak dikaji semula.

Kadar itu merupakan satu komponen di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum ketika ini.

“Sehubungan itu, pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyuarat pada 2 Januari 2019, dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan diperolehi ke atas permintaan PDAM dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum. YAB Perdana Menteri juga akan bertemu dengan PDAM dalam masa terdekat.”

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

Tambahnya, kerajaan komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera.”

“Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.”

Jelasnya, pengekalan harga pada paras berkenaan akan dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran.

Kerajaan Persekutuan berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, Kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan. PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *