TIGA BERADIK LEMAS DIJUMPAI

Last Updated on

Kakak yang cuba menyelamatkan adik-adiknya turut lemas.

Ibu mangsa, pengsan berkali-kali sejurus melihat jenazah ketiga-tiga anaknya.

Mayat ketiga-tiga beradik yang lemas di Pantai Teluk Lipat telah ditemui.

Kesemua mayat tiga beradik yang lemas selepas hilang dihanyut ombak di Pantai Teluk Lipat, Dungun telah ditemui pagi tadi.

Mangsa berusia antara enam hingga sepuluh tahun itu dijumpai dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dihanyut ombak petang semalam.

Mangsa pertama, Nurain Sufia Zawawi, 8 tahun, dijumpai pada jam 7.38 pagi, manakala adiknya, Nurain Salsabila Zawawi, 6, ditemui jam 9.20 pagi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM) Terengganu, mangsa terakhir, kakak mereka Nurain Fatma Zawawi, 10 tahun ditemui orang awam pada jam 11.05 pagi.

“Mangsa terakhir kita telah jumpa pada jam 11.05 minit pagi tadi lebih
kurang dalam jarak 4 km daripada tempat mangsa dikenal pasti mati lemas.”

“Mangsa yang kedua kita jumpa dalam jarak 5 km; bermakna dalam jarak 1 km sahaja daripada mangsa yang kedua dan mangsa yang pertama di temui dalam jarak 1 km dari persisiran Pantai Teluk Lipat di mana tempat mangsa dikenal pasti telah bermain pada petang semalam.”

Kesemua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan akan dikebumikan selepas Asar di kampung nenek mereka di Kampung Rahmat, Rantau Panjang.

Ibu mangsa, Nur Syahida Abdullah, 36 pengsan berkali-kali sejurus melihat jenazah ketiga-tiga anaknya.

Ahli keluarga menanti di tepi Pantai Teluk Lipat, Dungun, lokasi 3 beradik itu dilapor ditarik ombak.

Dalam tragedi lemas semalam, tiga beradik dari Rantau Panjang, Kelantan dihanyut ombak ketika bermain di pesisir Pantai Teluk Lipat, Dungun kira-kira jam 6.40 petang.

Mereka dikatakan pergi ke pantai bersama ibu saudara sebelum dua mangsa yang berumur 8 dan 6 tahun dilaporkan telah ditarik ombak besar ke dalam laut.

Kakak sulung mereka yang berumur 10 tahun dikatakan cuba menyelamatkan kedua-dua adiknya namun gagal menyebabkan kesemua mereka hilang serentak dibawa arus.

Leave a Reply