TAMBAHAN EMPAT SERVIS DIKENAKAN SST

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan empat lagijenis perkhidmatan yang akan dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, skop perkhidmatan bercukai itu dijangka melibatkan lebih 10,000 buah syarikat yang akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekali gus membantu meningkatkan hasil pendapatan dalam negara bermula Mac depan.

“Ia akan diperluaskan termasuk perkhidmatan pengendalian taman hiburan, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan, pembersihan serta penyediaan latihan atau tunjuk ajar.”

“Syarikat yang terlibat dalam jenis perkhidmatan itu dengan nilai perkhidmatan bercukai melebihi RM500,000 setahun harus membuat pendaftaran dengan JKDM sebelum 28 Februari depan,” katanya pada sidang media semalam.

Menurutnya, dijangkakan sebanyak 10,000 buah syarikat akan mendaftar dengan jumlah tertinggi melibatkan perkhidmatan pembersihan dan penyediaan latihan atau tunjuk ajar.

“Keputusan berhubung pemilihan jenis perkhidmatan itu dimuktamadkan setelah mengambil kira kepentingan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) agar tidak terbeban dengan cukai yang dikenakan.”

“Kita yakin empat jenis perkhidmatan yang dikenakan cukai SST ini lazimnya dinikmati oleh golongan berkemampuan seperti perkhidmatan penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan,” katanya.

Subromaniam berkata, rakyat perlu melihat pelaksanaan SST dari perspektif positif, demi membantu meningkatkan perolehan hasil kerajaan yang pada akhirnya akan dipulangkan semula kepada rakyat khususnya golongan B40.

Sementara itu, Subromaniam turut mengumumkan pengecualian cukai SST melibatkan Kumpulan G (golongan profesional) yang memberikan perkhidmatan sama kepada orang berdaftar termasuk perkhidmatan pengiklanan dalam Kumpulan 1 dan perkhidmatan bercukai yang diimport.

“Dianggarkan sebanyak 25,000 buah syarikat akan menikmati manfaat tersebut dan keputusan itu diumumkan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2019 bagi mengelakkan kos percukaian berganda dan mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *