KEPIMPINAN BAHARU MAIWP BEBAS POLITIK

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bergambar dengan kepimpinan baharu MAIWP selepas majlis penyerahan watikah di Putrajaya

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Seri Syed Hussein Abdul Kadir dilantik menjadi Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang meletak jawatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata lantikan baharu itu bukan dalam kalangan orang politik bagi mengelak campur tangan dalam pengurusan institusi agama Islam itu.

“Menteri tak pegang jawatan, itu satu pembaik pulih yang besar sebab dia akan selesaikan masalah conflict of interest.”

“Kedua, pelantikan pengerusi berdasarkan pengalaman beliau. Pasukan yang dilantik ialah terdiri daripada pelbagai bidang. Tidak ada lantikan politik dan orang politik letak di situ.”

“Selepas ini mereka akan jumpa dengan semua agensi di bawah MAIWP untuk melihat isu yang perlu diperbaiki,” kata Datuk Seri Dr. Mujahid selepas majlis penyerahan watikah kepada kepimpinan MAIWP yang baharu di Putrajaya. 

Lantikan ini menyempurnakan proses pelantikan agensi bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri yang tertangguh hampir 4 bulan.

Datuk Seri Syed Hussein Abdul Kadir berkata agensi di bawah MAIWP akan beliau lihat secara dekat untuk memperkasa syarikat atau aktiviti di bawah MAIWP supaya dapat dipertingkatkan bagi menjana keuntungan lebih besar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP manakala empat lagi ahli baharu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, mewakili Peguam Negara, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari, manakala Datuk Mohd Zafir Ibrahim mewakili Kementerian Kewangan dan Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiyah Engku Ali mewakli Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah telah memperkenan pelantikan ini berkuatkuasa 1 Januari 2019 hingga 31 Januari 2021.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *