PECAT IMAM KUASA MAIN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa

Susulan pemecatan 25 imam sekitar Perlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Namun beliau yakin keputusan yang dilakukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah pun mengambil kira pelbagai aspek.

“Itu kuasa yang ada pada MAIPs untuk memindahkan dan memberhentikan (imam). Itu semua kuasa MAIPs. Sudah tentu saya difahamkan Raja Perlis memberi nasihat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap keputusan itu tidak menimbulkan persepsi buruk dari masyarakat.

“Mufti (Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin/Dr. Maza) menyatakan sebab tindakan yang diambil. Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan mereka menetapkan apa yang baik untuk negeri Perlis dan hal ehwal pentadbiran di bawah kuasa Raja Perlis.”

Mufti Perlis, Dr. Maza

Dr. Maza telah menjelaskan khidmat 25 imam berkenaan dihentikan atas faktor umur yang sudah lanjut, masalah disiplin dan kecenderungan terhadap politik dalam masjid.

Sebelum ini tular surat penamatan kontrak 25 imam sekitar Perlis manakala 10 lagi dipindahkan berkuat kuasa Selasa lalu.

Surat bertarikh 31 Disember 2018 itu dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) tanpa menyatakan sebab penamatan kontrak yang bermula 1 Januari 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *