RAMAI ISI ‘TANGKI PENUH’ HARI INI

Last Updated on

Gambar hiasan

Tinjauan di beberapa stesen minyak di ibu negara mendapati jumlah pengguna jalan raya yang mengisi minyak sehingga tangki penuh meningkat berbanding sebelum ini.

Menurut petugas di stesen minyak, jumlah kenderaan yang singgah untuk mengisi minyak pada hari ini sejak pagi turut bertambah bagi mengambil kesempatan harga minyak yang rendah.

Rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan harga baharu minyak ini.

Menurut Nik Fatini Sohaimi, pengumuman harga minyak baharu ini pastinya membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat Malaysia.

“Bila tahu ada penurunan ni, saya rasa gembira. Penurunan (harga) minyak tersebut mungkin akan membantu mengurangkan sedikit perbelanjaan bagi rakyat Malaysia”.

“Baguslah kalau (harga) minyak sudah turun sekarang. Bagi yang berpendapatan rendah seperti saya, senanglah sedikit,” kata Gunasegaran Rathinam yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Gambar hiasan

Ada juga pengguna jalan raya yang menyuarakan pendapat bahawa harga barangan juga perlu diturunkan memandangkan alasan harga minyak yang tinggi sudah tidak relevan.

Menurut seorang kakitangan kerajaan, Rosli Raman, tidak adil jika harga barangan dinaikkan apabila harga bahan api naik tetapi harga barangan kekal apabila harga bahan api turun.

“Bila harga minyak turun, harga barang mesti turun. Jangan pula bila harga minyak turun, dia stabil. Tapi bila harga minyak naik, dia ikut naik. Tak adillah macam tu”.

Harga baharu RON95 RM1.93

Bagi guru taska, Nur Syazwanie Mazni, semua pihak perlu bertimbang rasa terutamanya antara penjual dan pengguna supaya semua pihak dapat berkongsi bebanan kos sara hidup.

“Kita kena sama-sama fahamlah kos sara diri. Kita nak membeli, dia pun nak menjual. Sama-sama fahamlah. Tak perlu ambil untung lebih disebabkan minyak naik”.

Sebelum ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan harga baharu bagi produk petroleum.

Harga seliter RON95 sebelum ini RM2.20, tetapi kini RM1.93. Bagi RON 97 pula, harga diturunkan sebanyak 27 sen, iaitu kepada RM2.23 seliter dan diesel pula RM 2.04 seliter, penurunan sebanyak 14 sen.

Leave a Reply