PENERIMA TIDAK PERLU PULANGKAN HIBAH TH

Last Updated on

Orang ramai tidak perlu gusar status halal wang hibah TH – Mujahid

PUTRAJAYA: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu memulangkan dividen yang diterima walaupun status halalnya dipertikai banyak pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, penerima tidak mengetahui penyelewengan yang berlaku di dalam institusi berkenaan dan tindakan memulangkan semula wang hanya akan menyebabkan kesulitan.

“Mereka yang terima tidak tahu penyelewangan yang berlaku. Mereka telah diberi hibah atau dividen.

“Tak payah nak bayar balik. Itu akan timbulkan kesukaran,” kata Mujahid.

Jelasnya, penyelewengan yang berlaku hanya melibatkan pengurusan atasan dan penerima tidak tanggungjawab di atas masalah berkenaan.

“Itu bukan masalah orang menerima. Itu masalah pengurusan.”

Laporan pemberian hibah TH bagi tahun 2014 hingga 2017 yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995 menyebabkan penyata kira-kira TH merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Perkara itu sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan pendeposit mengenai status hibah yang diterima.

Datuk Seri Dr. Mujahid ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di Putrajaya pagi tadi.

Leave a Reply