SEKOLAH PONDOK TERIMA RM25 JUTA LEBIH AWAL

 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan cek RM25 juta kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa sambil diperhatikan timbalannya Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching

283 sekolah pondok berdaftar seluruh negara bakal menerima peruntukan RM25 juta seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2019 lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dana disampaikan awal bagi memudahkan kementerian yang bertanggungjawab untuk membuat pengagihan secara efisyen.

“Hari ini pihak kementerian dengan sukacita menyerahkan 25 juta ringgit sekaligus, buat kali pertama kepada YB Mujahid untuk beliau memutuskan pengagihan.

“Kita hanya beri wang. Pengagihan ditentukan secara mengikut budi bicara pihak beliau kepada sekolah pondok,” jelas Lim.

Tambahnya Kementerian Kewangan tidak meletakkan syarat tertentu bagi proses pengagihan dana berkenaan.

Beliau menyerahkan cek RM25 juta itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa di pejabatnya di Kementerian Kewangan pagi tadi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, bantuan berkenaan terbahagi kepada dua kategori, iaitu sekolah pondok dan sekolah agama rakyat.

“Kami akan cuba melaksanakan (agih) RM25 juta berpandukan statistik yang ada secara berdaftar.

“Dua kategori, satu sekolah pondok dengan nama pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat. Walaupun mereka bukan mainstream (aliran arus perdana), tetapi ada peranan untuk membina masyarakat dengan pendidikan progresif dan inklusif,” jelas Mujahid.

Beliau sementara itu menyokong pandangan Lim Guan Eng bahawa masjid dan institusi pendidikan harus bebas daripada campur tangan politik.

Kedua-dua mereka ditemui dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *