TINDAKAN TEGAS TERHADAP RESTORAN BUKAN ISLAM GUNA AYAT AL-QURAN

Sebuah restoran di Shah Alam disahkan tidak mempunyai sijil halal tetapi menggantung ayat Al-Quran di dalam premisnya yang boleh menimbulkan kekeliruan.

PUTRAJAYA: Tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha restoran bukan Islam yang mempergunakan ayat Al-Quran bagi tujuan menarik pelanggan muslim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menangani masalah berkenaan berdasarkan pemantauan dan maklumat daripada aduan orang ramai.

“Kita pantau. Akan ada tindakan bersesuaian bersama KPDNHEP dan laporan orang ramai. Kita ada penguatkuasa untuk dengar aduan. Kita bertindak selepas dapat fakta jelas. Kita bertindak bersama kementerian lain.”

Penipuan seumpama ini dikatakan telah lama berlaku dalam kalangan pengusaha restoran India yang mengaburi mata pengguna dengan meletakkan tulisan Allah dan Muhammad serta ayat Al-Quran.

Baru-baru ini tular di laman sosial insiden seorang pekerja restoran di Seksyen 25 Shah Alam ditampar selepas menegur perokok di premis berkenaan.

Susulan insiden itu, status sebenar pemilik restoran terbabit terbongkar. Hasil pemeriksaan merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di premis itu turut mendapati ia dimiliki dua pemilik yang beragama Islam dan Hindu.

Restoran berkenaan kemudiannya dikenal pasti tidak mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Lebih buruk, daging kambing yang didapati di premis berkenaan juga didapati diperoleh daripada pembekal yang tiada sijil halal SPHM sah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *