Perlu dimasyhur sultan sebelum dilantik Agong

Last Updated on

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

SHAH ALAM – Pemasyhuran Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pensyarah undang-undang, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ia hanya boleh dibuat selepas Sultan Ahmad Shah turun dari takhtanya dan diserahkan kepada pengganti baginda mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Bagi upacara pertabalan sebagai Sultan Pahang pula, katanya, ia boleh dilakukan pada waktu lain mengikut amalan Kerajaan Pahang.

“Proses pertabalan (sebagai Sultan Pahang) saya rasa tidak perlu, cuma perlu masyhurkan pemangku Raja Pahang sebagai sultan.

“Mungkin proses pertabalan (boleh dilakukan) di lain masa,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas sama ada proses pertabalan sebagai Sultan Pahang perlu dilakukan sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong memandangkan upacara itu mengambil masa yang lama.

Tengku Abdullah mungkin ditabalkan sebagai Sultan Pahang bagi membolehkan baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong mengikut penggiliran dalam Majlis Raja-Raja Melayu.

Spekulasi mengenai pelantikan tersebut ekoran satu mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang dijangka diadakan dalam sehari dua lagi.

Nik Ahmad Kamal berkata, sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut negeri dan bukan berdasarkan kelayakan sultan atau raja berkenaan.

“Yang saya tahu sama ada sultan atau raja itu, atau, namun jika sudah sampai giliran pada negeri itu, maka (sultan atau raja dari) negeri itu berhak dilantik, maksudnya raja atau sultan negeri berkenaan dilantik, dipilih dan diundi (Majlis Raja-Raja).

“Setahu saya, tidak ada (peruntukan undang-undang menyatakan penggiliran itu) berdasarkan kepada (kelayakan) sebagai individu. Individu itu bergantung kepada negeri. Itu pandangan saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Majlis Raja-Raja mempunyai budi bicara dalam proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong selain mengikut sistem giliran dan undi rahsia yang mengikut perlembagaan.

“Dalam soal ini kita pula tak boleh nafikan bahawa perkara ini adalah perkara dalaman dalam Majlis Raja-Raja.

“Selain daripada peruntukan perlembagaan itu, Majlis Raja Raja ada budi bicara mereka sendiri dalam menentukan (Yang di-Pertuan Agong),” katanya.

Sultan Muhammad V, meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa serta-merta pada 6 Januari lalu.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V

Susulan itu, Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini. – Sinar Harian

Leave a Reply