Simbah anak dengan air panas, bapa berdepan penjara, sebat

Last Updated on

Kesan lecur di badan mangsa akibat disimbah air panas oleh bapanya.

GEORGETOWN: Padah menyimbah air panas ke atas tubuh dua anaknya, seorang bapa dihadapkan ke mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

Tertuduh Eddy Noramin Ramli, 41, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyimbah air panas ke atas dua anaknya pada Disember lalu.

Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Eddy didakwa sengaja mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan air panas hingga badan mangsa melecur.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara sama kepada anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara jam 1 hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun hukuman ke atas tertuduh belum diputuskan berikutan laporan perubatan belum diterima.

Kesan lecur akibat disimbah air panas

Rosnee membenarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, Eddy dilarang mendekati dua anaknya itu.

Mahkamah menetapkan 12 Februari depan untuk menjatuhkan hukuman.

Pada Isnin, tertuduh ditahan bersama isterinya setelah sembilan hari melarikan diri.

Bagaimanapun, isterinya tidak didakwa dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

Mangsa dikatakan diperlakukan sebegitu atas sebab bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.

Mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan.

Leave a Reply