Menghina Raja tidak boleh diperemeh

Last Updated on

Oleh: Rozais Al Anamy

Prinsip kedua Rukun Negara, kesetiaan kepada Raja dan negara wajib dihormati oleh setiap rakyat Malaysia yang waras.

KECACATAN fizikal bukanlah satu alasan untuk dikecualikan dari tindakan undang-undang. Setahun lalu di Bangkok, seorang wanita buta, Nurhayati Masoh yang berusia 23 tahun telah dipenjara satu tahun setengah apabila didapati bersalah menghina raja.

Dia dibuktikan bersalah menghina raja dengan memuat naik rencana oleh ahli akademik Britain Thai, Giles Ungpakorn yang terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap monarki negara itu. Walaupun tidak menyedari kesan daripada perlakuannya itu, dia tetap dihukum setelah mengaku bersalah.

Begitu juga dengan faktor usia, Sulak Sivaraksa yang berumur 85 tahun tidak terlepas dari tuduhan menghina kerabat diraja Thailand ketika bercakap dalam satu forum pada tahun 2014.

Sulak secara kritikal mempertikaikan sejarah Raja Naraesuan yang secara solo menewaskan tentera putera Burma dalam pertempuran Nong Sarai pada tahun 1593 dengan menaiki seekor gajah perang. Sulak seorang aktivis berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah.

Manakala Prawet Prapanukul pula tidak terkecuali dari hukuman walaupun dia merupakan seorang peguam terkenal serta penasihat undang-undang dalam kes penghinaan kerajaan tingkat tinggi di Thailand. Dia dihukum 150 tahun penjara atas beberapa akta kesalahan menghina raja dan menghasut.

Kes-kes diatas hanyalah sebahagian kecil daripada serangkaian kes penghinaan kepada raja di Thailand khususnya, atau di seluruh dunia umumnya. Menurut laporan Kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia, sehingga 2017 sekurang-kurangnya 93 kes menghina raja membabitkan 138 individu didapati bersalah sejak tentera merampas kuasa pada 2014 di Thailand.

Penggunaan undang-undang lese-majeste di negara itu meningkat di bawah kerajaan junta yang mengambil alih kuasa menerusi kudeta, dengan lebih daripada 100 orang dituduh sejak kudeta, menurut kumpulan pemantauan undang-undang iLaw.

Dengan kata lain, kes seumpama ini sudah lama berlaku, cuma bergantung kepada setiap negara untuk menanganinya supaya institusi diraja negara tidak diperlekehkan secara sewenangnya oleh rakyat mahupun orang luar.

Mengikut undang-undang menghina raja di Thailand, seseorang itu boleh dihukum penjara dari tiga hingga ke 15 tahun. Namun undang-undang itu hanya meliputi ahli dekat keluarga diraja dan tidak menyatakan raja yang sudah mangkat.

Berbeza dengan Malaysia ketika ini, mereka yang menghina institusi Raja hanya didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melalui Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(3). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Wan Ji Wan Hussin pernah didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Sejak isu peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV, baginda teruk dihina dan dicerca oleh netizen yang tidak bermoral.

Terbaru, penghinaan kepada Raja khususnya Sultan Muhammad V yang baru sahaja turun takhta semakin semarak. Polis sudah menahan tiga individu pemilik akaun Facebook dan Twitter yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap baginda berkaitan isu peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV. Amat menyedihkan kerana dua daripada yang ditahan itu ialah pasangan suami isteri Melayu.

Menyedari kepincangan dalam menangani isu inilah, terdapat pengamal undang-undang dan pakar sejarah menggesa supaya individu yang didapati salah menghina institusi Raja dikenakan hukuman lebih berat, termasuk penjara mandatori.

Hal ini memerlukan penggubalan akta baru yang khusus kerana perbuatan menghina Raja atau Sultan tidak sama dengan menghasut yang termaktub di bawah akta sedia ada. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sitem Raja Berpelembagaan yang meletakkan Raja sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam, penghinaan kepada institusi raja merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh dipandang remeh.

Justeru itu akta baru tersebut perlu diasingkan kerana martabat institusi Raja ini amat tinggi dalam sistem sosial masyarakat Melayu Islam sejak era kegemilangan kesultanan Melayu. Ini kerana perkembangan Islam berkait rapat dengan peranan Raja, dan sejarah membuktikan bahawa institusi ini telah wujud lama sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Amatlah melampau bagi rakyat di sebuah negara Islam dan mempunyai ciri-ciri unik pemerintahan beraja ini tanpa segan silu menghina rajanya sendiri, apatah lagi kesetiaan kepada Raja dan negara diletakkan pada turutan kedua daripada lima prinsip Rukun Negara.  

Penghinaan ini menunjukkan mereka seakan-akan tidak menerima kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam pada peringkat negara dan negeri yang diperintah Raja serta menjadi simbol kedaulatan Melayu.

Maka, sebelum rakyat negara ini bertambah hilang nilai patriotik dan mengalami kelunturan sahsiah dan nilai, akta khusus ini perlu digubal dan dikuatkuasakan segera bagi menangani penghinaan terhadap Raja atau Sultan. Ini kerana keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan (Justice delayed is justice denied). – 11 Januari 2019

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

Leave a Reply