PDRM-KASTAM BERGABUNG BANTERAS “TONTO”


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berjabat usai mesyuarat tertinggi kedua-dua agensi itu

GENTING HIGHLANDS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bergabung tenaga bagi membanteras aktiviti penyeludupan dalam negara.

Menerusi jalinan kerjasama itu, agensi berkenaan menubuhkan lima jawatankuasa khas bertujuan memperkasa penguatkuasaan, sekaligus berpotensi meningkatkan pendapatan negara.

Sejak sekian lama kegiatan penyeludupan berleluasa sehingga ia sukar dibendung.

Meskipun sebahagian besar penyeludupan utama iaitu rokok dan arak berjaya ditumpaskan, namun langkah proaktif perlu disegerakan bagi mengurangkan kadar gejala itu.

Penguatkuasa kastam berdepan risiko bahaya ketika melakukan operasi kerana terdedah ancaman sindiket yang menggunakan khidmat gangster digelar sebagai “tonto”.

Justeru, PDRM dan kastam mewujudkan jalinan kerjasama bagi meningkatkan keselamatan penguatkuasa ketika bertugas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata jaminan keselamatan diberi kepada pegawai kastam untuk menjalankan operasi.

“Kita telah beri jaminan untuk mengambil langkah proaktif berkaitan dengan ancaman tonto yang banyak menjejaskan penugasan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia.”

“Jadi untuk tujuan ini kita telah tubuhkan lima jawatankuasa untuk kita bekerjasama secara langsung melalui jawatankuasa ditubuhkan dan kita telah melantik focal point di antara dua agensi untuk duduk semeja dari semasa ke semasa agar penugasan kita akan lebih berkesan lagi di masa akan datang.

Gejala penyeludupan mengakibatkan kerajaan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri Subromaniam Tholasy berkata jika penyeludupan dibendung, pendapatan negara boleh meningkat lebih RM1 bilion.

“JKDM pungut RM5.5 bilion hasil daripada rokok dan minuman keras pada tahun lepas.”

“Pada tahun ini petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh jabatan kastam ialah meningkatkan hasil dari RM5 billion kepada RM7 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *