‘Cinta teras pendidikan’ – Maszlee

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

SERDANG – Antara hala tuju utama bagi memartabatkan sistem pendidikan ialah mengembalikan cinta ke dalam sistem berkenaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata ‘cinta ialah teras kepada pendidikan’.

“Kita mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita kerana kita cintakan mereka.

“Dengan cintalah, kita mahu mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya,” katanya.

Jelas beliau, penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan cinta sebagai teras pendidikan.

“Di antara banyak nilai, kita mahu memberikan tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras yang ingin kita binakan bersama, iaitu cinta atau kasih sayang, kegembiraan atau kebahagiaan dan saling menghormati,” kata beliau.

Menurut Maszlee, sekolah dan universiti harus menjadi tempat yang paling membahagiakan dan proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan, agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu.

“Sekolah juga harus menjadi tempat di mana perbezaan bukan sahaja dihormati, tetapi dihargai dan dirayakan,” katanya.

Berkenaan hala tuju kedua Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan menjadikan ketinggian kualiti sebagai hala tuju yang perlu dicapai bersama.

“Ketinggian kualiti merangkumi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan,” katanya.

Menurut Mazlee, konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara ‘four walls of room’.

“Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan di setiap masa dan setiap tempat. Kita perlu mempunyai mindset bahawa dunia ini ialah kelas pembelajaran sepanjang hayat.

“Kita mesti berusaha untuk melahirkan pelajar cemerlang yang berfikiran tinggi, yang membaca, yang mempunyai sifat ingin tahu, dan yang relevan dengan keperluan industri, serta mempunyai kearifan tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat global,” tambah Maszlee.

Mengenai autonomi dan akauntabiliti, yang merupakan hala tuju yang ketiga, Maszlee memberitahu, setiap individu dan institusi mempunyai kemahiran dan keunikan yang tersendiri.

“Atas dasar inilah kita sangat mengutamakan konsep autonomi dan akauntabiliti,” kata beliau.

Katanya, autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita perlu memperhebatkan pelibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan,” katanya.

Beliau menggariskan tiga hala tuju berkenaan ketika menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan 2019 hari ini.- Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *