Ambil iktibar dari sejarah negara – Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putra Perdana hari ini.Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kepada semua agar memahami sejarah supaya kesilapan lampau tidak diulangi.  Kemajuan boleh dikecapi dan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama sekiranya keamanan negara terus terpelihara.

Beliau menambah, negara akan lebih maju sekiranya tiga kaum utama di Malaysia bersama kaum-kaum di Sabah dan Sarawak dapat bertaut untuk ‘bekerja’, ‘tinggal’ dan ‘bermain’ bersama.

“Selagi kita ingat sejarah kita dan liku-liku yang dijalani negara kita, maka negara kita akan terus aman. Apabila ia aman, kemajuan dapat dicapai dan kekayaan diagih antara semua kaum,” katanya semasa perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, yang pertama pada tahun ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa rusuhan atas faktor perkauman seperti yang berlaku pada tahun 1969 tidak akan membawa apa-apa faedah kepada sesiapapun.

Justeru itu beliau mengingatkan semua pihak termasuk pegawai kerajaan dan ahli politik perlu tahu segala sejarah negara, dengan memetik kata-kata ahli falsafah terkenal George Santayana “sesiapa yang melupakan sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali.”

Walaupun kini tiada rusuhan, namun masih terdapat perpisahan antara kaum dan ini tidak selamat untuk negara.

Menurutnya, Malaysia bertuah kerana pemimpin semua kaum bersetuju untuk bersama-sama membangunkan negara selepas mencapai kemerdekaan berbanding negara lain yang tidak mahu menerima kehadiran kaum dari negara lain.

Katanya, di sesetengah negara, mereka yang menganggap diri mereka sebagai orang asal negara itu tidak senang hati dengan kaum lain yang dikatakan kaum pendatang dan apabila kemerdekaan dicapai, kaum yang bukan terdiri daripada anak watan dihalau keluar.

Manakala di negara yang tidak mempunyai masalah perkauman pula, perpisahan antara golongan miskin dan kaya yang begitu ketara juga telah mencetuskan perbalahan sehingga berlaku rusuhan, katanya.

Kerana itulah kerajaan menumpukan usaha untuk membasmi kemiskinan terutamanya dalam kalangan bumiputera yang ramai hidup dalam kemiskinan di luar bandar berbanding mereka yang tinggal di bandar dengan kemudahan serba mencukupi.

Dr Mahathir berkata Malaysia bertuah kerana mencapai kemerdekaan tanpa melalui peperangan atau rusuhan dan pentadbiran negara diambil alih oleh pemimpin yang mempunyai pengalaman bekerja dengan penjajah British.

Beliau berkata di kebanyakan negara yang diambil oleh pemimpin yang menang atas dasar peperangan, kemajuan tidak dicapai dengan baik kerana mereka tidak memiliki ilmu dalam pentadbiran negara.

“Oleh kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran, biasanya kita lihat negara mereka tak ditadbir dengan baik, maka kerap kali terjadi pemerintahan kuku besi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *