Hamas, Fatah kembali bertelagah

Last Updated on

Mahmoud Abbas, Presiden Fatah – Foto Sinar Online

RAMALLAH, 14 Januari – Perpecahan selama sedekad di Palestin dijangka semakin meruncing dalam tempoh beberapa bulan akan datang selepas Presiden Mahmoud Abbas dilaporkan bersedia untuk mengambil beberapa langkah ke atas Gaza untuk memberi tekanan kepada Hamas.

Memetik laporan Sinar Online menyebutkan pegawai kanan rapat dengan Abbas memaklumkan pemimpin Fatah tersebut sedang membuat rancangan untuk menghukum Hamas yang menandakan perjanjian perdamaian antara kedua-dua belah pihak itu semakin runtuh. Keputusan yang sangat penting terhadap Hamas sedang dibincangkan.

“Mereka yang mahu mengawal Gaza mesti bertanggungjawab untuk mentadbirnya,” ujarnya yang menjelaskan Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah memperuntukkan kira-kira AS$100 juta (RM409 juta) sebulan merangkumi subsidi elektrik yang dijangka akan dipotong di bawah langkah itu.

Minggu lalu, PA mengumumkan ia akan memanggil pulang kakitangan mereka dari lintasan Rafah bersempadan dengan Mesir. Pengumuman itu dibuat selepas Abbas bertindak menyekat pemindahan cukai dan bekalan bahan api ke Gaza selama beberapa tahun sebagai sebahagian daripada kempen untuk memberi tekanan kepada Hamas yang menguasai wilayah tersebut.

Presiden Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) itu juga berikrar untuk membubarkan Parlimen Palestin dikuasai Hamas yang tidak pernah bersidang sejak perpecahan pada 2007. Langkah itu telah mencetuskan kebimbangan terhadap nasib dua juta penduduk Gaza yang kini hidup di bawah kepungan Israel dan Mesir selain berdepan masalah kekurangan bekalan elektrik.

Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Bassem Naim berkata, “Fatah pernah membuat ancaman sama sebelum ini. Sebarang rancangan untuk mengenakan sekatan termasuk menutup sempadan dan memotong gaji yang bertujuan untuk memeras ugut penduduk bagi mencetuskan pemberontakan ke atas Hamas telah gagal,” katanya.

Usaha perdamaian antara Hamas dan Fatah sudah beberapa gagal, namun Mesir mendakwa rundingan pada akhir 2017 membuahkan hasil selepas kedua-dua pihak bertelagah itu bersetuju berkongsi kuasa.

Leave a Reply