Mahalnya pendidikan bagi kanak-kanak tanpa warganegara

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr. Mohd Daud Sulaiman bersama pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Jelajah Misi Muhibbah di Pulau Mabul, Semporna-Kota Kinabalu bagi membantu pendidikan kanak-kanak tanpa warganegara. – Foto MRA.
Oleh: Dr Mohd Daud Sulaiman

BAGI sesetengah rakyat Malaysia, peluang pendidikan yang diterima sangat mudah sehingga akhirnya membawa kejayaan dalam bidang pekerjaan seperti menjawat jawatan penting dalam bidang profesional.  

Namun nikmat pendidikan ini bukan dapat dirasa oleh semua pemastautin. Mereka yang duduk ‘menumpang’ sebagai pelarian di negara ini berasa ketinggalan dan tertanya mengenai peluang dan harapan mereka dalam pendidikan.

Perkara ini terus menekan mereka apabila Malaysia sendiri tidak memberi pengiktirafan kepada golongan pelarian disebabkan tidak menandatangani Konvensyen 1951 dan Protokol 1961 berkaitan orang pelarian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walau bagaimanapun Malaysia secara diplomatiknya tidak pernah menghalang mereka untuk berada di negara kita atas sebab kemanusiaan.

Dalam kekangan itu, kedapatan anak-anak Rohingya yang menjadi pelarian di semenanjung Malaysia bersungguh-sungguh menuntut ilmu di sekolah pelarian yang diwujudkan oleh banyak NGO seperti Malaysian Relief Agency (MRA). Ini kerana menyedari peluang untuk mereka mengenal ilmu perlu diberikan walaupun sekadar asas sahaja.

Kanak-kanak Pulau Mabul yang berpeluang mendapat pendidikan melalui misi oleh NGO Malaysia. – Foto MRA

Dalam usaha memberi pendidikan ini,  MRA cawangan Sabah dalam siri Jelajah Misi Muhibbah yang bekerjasama dengan Fakulti Kemanusiaan, Seni & Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai rakan pelaksana misi kemanusiaan dan pendidikan yang diadakan di Pulau Mabul, Semporna dan di Kota Kinabalu.

Dr. Badariah Saibeh, pensyarah dan pengkaji mengenai isu pendidikan dan kewarganegaraan di Pulau Mabul, memaklumkan bahawa ramai anak kecil yang bukan warganegara yang berada di sana tercicir dalam bidang pendidikan, dan ini sangat membimbangkan kerana tanpa pendidikan isu sosial dilihat menjadi masalah utama jika tidak dibendung.

Tanpa kewarganegaraan mereka tidak mempunyai peluang untuk bersekolah. Tidak dinafikan sebelum ini terdapat beberapa NGO dan orang perseorangan di Pulau Mabul membina sekolah dan memberi peluang pendidikan kepada mereka.

Usaha oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan orang perseorangan sangat perlu dalam merangka strategi menangani masalah pendidikan golongan pelarian. Foto MRA

Namun apabila melihat isu pendidikan lebih besar daripada masalah kewarganegaraan yang wujud, suatu usaha untuk mengatasi masalah ini perlu difikirkan sebijaksana mungkin.

Justeru itu MRA dan pihak UMS bercadang untuk mengadakan sebuah pusat komuniti yang lebih besar fungsinya agar anak-anak terpinggir ini menerima  peluang yang lebih besar dari sudut pendidikan, peluang kemahiran dan pendidikan sosial.

Cikgu Ali, satu-satunya tenaga pengajar di Mabul Kids Education School (MKES) yang mendidik hampir 80 orang kanak-kanak tanpa warganegara di Pulau Mabul memberi contoh kepada usaha murni yang menjadi satu titik perjuangan yang  cukup baik untuk memberikan kesedaran buat anak-anak di situ menikmati satu lagi kehidupan yang lebih baik.

Dalam suasana sekolah yang sangat usang tanpa apa-apa kemudahan asas, Cikgu Ali tetap tekad meneruskan sesi pembelajaran buat anak-anak Pulau Mabul. Kelas yang diadakan hanya sebelah malam bergantung kepada minyak diesel untuk menghidupkan generator.

Pendidikan tidak seharusnya terhad oleh batas sempadan kerana ia keperluan asas setiap manusia. Foto MRA

Jika Cikgu Ali dapat meneruskan perjuangannya dalam mendidik masyarakat, pihak bertanggungjawab seharusnya lebih peka dalam hal ini.

Ketepikan agenda politik dalam usaha memberi harga kemanusiaan yang sangat besar buat anak-anak terpinggir ini. Anak-anak kecil ini tidak akan tahu betapa indahnya kehidupan ini tanpa pendidikan yang sempurna.

Sekurang-kurang berilah mereka peluang mengenal huruf kecil perjuangan ilmu. A, B & C! Huruf kecil untuk anak terpinggir.

* Dr. Mohd Daud Bin Sulaiman adalah Presiden Malaysian Relief Agency (MRA).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *