Pornografi virus kepada anak-anak

Last Updated on

Oleh: Mohd Fadhli Othman
Ibu bapa perlu memantau aktiviti seharian anak-anak mereka supaya tidak terlampau
bergantung kepada gajet. – Gambar hiasan

MUTAKHIR ini berita tentang jenayah seksual sering terpampang di media massa.  Jenayah ini seolah-olah telah mengalami normalisasi dalam masyarakat dan dibaca sepintas lalu tanpa meninggalkan kesan mendalam seperti kerisauan dan kebimbangan.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu kes di mana dua remaja adik beradik berusia 16 dan 14 tahun telah melakukan sumbang mahram sejak dua tahun lalu. Bayangkan dalam usia awal remaja mereka telah terlibat dengan perkara yang merosakkan akhlak, sedangkan perjalanan kehidupan masih jauh untuk ditempuh.

Kes di atas hanyalah satu daripada masalah sosial dalam kalangan remaja kita yang terdedah kepada pelbagai bentuk keruntuhan moral dalam dunia tanpa sempadan ini.

Banyak punca dapat dikenalpasti mendorong kes seperti ini berlaku. Salah satunya ialah lambakan bahan lucah atau pornografi yang sangat mudah dicapai. Jika sebelum ini bahan pornografi sangat sukar didapati secara terbuka iaitu dengan membeli cakera padat (CD) contohnya, kini ia boleh dinikmati melalui talian di telefon pintar. Pendek kata, bahan pornografi hanya di hujung jari.

Apatah lagi anak-anak hari ini telah pun terdedah dengan penggunaan media sosial sejak usia seawal 7 tahun lagi. Kebanyakan dari mereka tidak lekang dari gajet masing-masing, di mana dan waktu mana jua. Mereka bebas melakukan carian pornografi dalam bentuk visual atau bahan bacaan.

Hal ini demikian kerana terdapat segelintir ibu bapa hari ini mencari jalan mudah dalam mengawal anak mereka dengan hanya memberi gajet tanpa kawalan dan urus selia yang baik. Lama-kelamaan ia menjadi satu jalan keluar kepada para ibu-bapa dalam menangani kerenah anak mereka.

Walaupun masalah ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada golongan ibu bapa, namun sebagai orang terdekat dengan anak-anak, mereka perlulah menjadi orang pertama yang mendidik dan mengawal selia amanah mereka supaya bijaksana menggunakan teknologi yang ada.

Pornografi dalam kalangan anak-anak hari ini menjadi seperti virus, menyerap halus ke dalam masyrakat tetapi kesannya sangat ketara. Ia umpama dadah dan sihir yang tidak nampak dek mata kasar, namun dapat dikesan akhirnya setelah berlaku perubahan tingkah laku.

Oleh kerana itu, masyarakat hari ini terutama ibu bapa sepatutnya lebih rajin menambah ilmu dalam kaedah mengurus masalah seperti ini. Terdapat banyak program anjuran bagi menangani masalah sosial yang semakin membarah ini.

Salah satu daripadanya ialah Seminar Goodbye Pornography anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi pencerahan dan didikan kepada ibu bapa dalam membentuk generasi yang berkualiti dan berjati diri menghadapi arus globalisasi yang kian membimbangkan.

*MOHD FADHLI OTHMAN adalah penceramah dan penyedia Modul “Goodbye Pornography Speaker” dan pelatih Kesedaran Pendidikan Seks.

Leave a Reply