Pelihara anjing dan tata susila kejiranan

Last Updated on

Oleh: Rozais al-Anamy

LIMA tahun lalu, Iran merangka draf perundangan berkaitan larangan menyimpan anjing atau membawanya bersiar-siar di tempat awam. Draf tersebut yang pada waktu itu ditandatangani 32 anggota parlimen turut mengenakan denda tinggi terhadap pesalah. Mengikut perundangan tersebut, pemilik anjing yang didapati bersalah bakal dikenakan 74 sebatan atau didenda antara 10 juta riyal (RM1,300) hingga 100 juta riyal (RM12,500).


Pihak berkuasa tempatan merupakan pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan terhadap anjing-anjing liar mahupun anjing perliharaan yang dibiarkan di tempat awam. – Gambar hiasan

Walaupun jarang menjadi haiwan peliharaan di sana, masih terdapat pencinta dalam kalangan berada memiliki anjing secara sembunyi dan membawanya bersiar-siar di tempat awam. Namun apabila terserempak dengan polis moral Iran yang menjaga tempat awam, mereka memberi amaran kepada pemilik atau kadangkala merampas haiwan itu.

Ini kerana menurut perundangan itu, membela anjing dianggap merosakkan kebudayaan Islam selain menggugat kebersihan dan ketenangan orang lain terutama wanita dan kanak-kanak, selain mengekang penularan budaya Barat dalam kalangan orang Islam di sana.

Pendek kata, daripada penguatkuasaan dan perhatian terhadap isu membela anjing di Iran, menunjukkan bahawa kepentingan awam sangat mustahak dititikberatkan untuk melahirkan situasi harmoni dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya bagi kehidupan berjiran.

Hal ini bertepatan dengan ajaran Islam sebagai agama yang menjamin keselamatan kepada penganutnya dan kepada sekalian alam, yang sentiasa menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan erat dalam kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya.

Dalam konteks kejiranan, umat Islam diwajibkan menjaga hubungan baik sesama mereka. Pelbagai garis panduan dan adab sopan digariskan agama supaya hidup berjiran sentiasa dalam kesejahteraan dan selamat.

Realiti kehidupan hari ini yang dikelilingi oleh manusia yang mempunyai variasi agama, bangsa, bahasa dan budaya sangat memerlukan kebijaksanaan dalam menghadapi hidup berjiran. Hanya dengan mengamalkan sikap saling hormat-menghormati, bertolak ansur dan saling faham memahami dapat mengeratkan hubungan menyelesaikan segala masalah kejiranan yang mungkin timbul.

Sekiranya masing-masing mengambil peranan dalam membina hidup bermasyarakat yang sejahtera, kes tuduh-menuduh seperti berlaku baru-baru ini di Seremban tidak akan berlaku. Dalam kes tersebut yang masih dalam siasatan, Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights, Mohd. Asna Amin disiasat polis selepas seorang penduduk mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya ditemui mati akibat diracun di taman perumahan itu antara 1 hingga 4 Januari lalu.

Mohd Asna dilabelkan sebagai pembunuh anjing dan menjadi sasaran kecaman netizen selepas tangkap layar perbualannya dengan penduduk berhubung isu anjing di perumahan itu menerusi aplikasi WhatsApp menjadi tular.

Sikap tidak menghormati hak jiran dengan membiarkan binatang peliharaan berkeliaran di tempat awam boleh mewujudkan rasa kebencian sesama jiran. – Gambar hiasan.

Menurut beliau lagi, perbuatan membiarkan anjing milik individu berkeliaran di tempat awam itu telah lama berlaku, malah ada anjing yang menyerang dan mengancam keselamatan penduduk walaupun aduan telah banyak kali dibuat. Rumah dan masjid pula sering dimasuki dan dicemari najis anjing.

Kes seumpama ini pernah berlaku kepada penghuni kondominium Glenview Villa berhampiran Kampung Baru Cheras lima tahun lalu yang terganggu dengan kucing dan anjing belaan penghuni yang membuang najis di merata aras penempatan tersebut.

Dua kes di atas membuktikan betapa kurangnya kesedaran amalan sivik dan moral dalam masyarakat kita, walhal dalam kehidupan berjiran yang berbeza agama dan budaya, semua pihak perlu memilih jalan tengah yang tidak menyinggung atau melukakan hati sesama jiran. 

Apabila kesucian sesuatu agama itu misalnya dicemar oleh sikap jiran yang tidak memikirkan hal orang lain, perkara ini boleh merebak menjadi sentimen kaum atau agama. Hal ini terbukti dalam kes anjing diracun. Tidak mustahil kes ini membawa kepada perbalahan kaum jika ia tidak ditangani seadilnya.

Hakikatnya, orang Islam tidak menghina atau memandang kotor kepada mereka yang memelihara anjing. Tetapi dari sudut agama haiwan itu adalah najis. Jiran bukan Islam wajar memahami serba sedikit pengertian najis dalam konteks ini.  Sekiranya mereka faham dan ditambah dengan cakna terhadap hidup berjiran, mungkin sikap tidak bertanggungjawab seperti membiarkan anjing berkeliaran tidak berlaku.

Tetapi hakikatnya di taman-taman perumahan yang juga didiami oleh orang Islam, adakalanya riuh rendah dengan salakan anjing dari rumah jiran sebelah menyebelah.  Tetapi tidak ada jiran yang terdiri daripada orang Islam melarang jiran bukan Islamnya memelihara anjing. Mereka menghormati kedudukan haiwan itu dalam budaya jirannya.

Mereka apologetik untuk menegur suatu yang dilihat sangat peribadi.  Maka sekiranya jiran bukan beragama Islam ada terselit di hati mereka rasa kenang budi atas toleransi jiran Islamnya, sudah pasti mereka akan menjaga anjing mereka sebaiknya dan tidak dibiarkan mengganggu jiran mereka yang sudah banyak berkorban perasaan itu. Buat baik dibalas baik.

Kontroversi anjing mati diracun ini seharusnya membuka mata kita pada isu-isu yang lebih domestik sifatnya iaitu tata susila hidup berjiran.  Anjing mati diracun di depan masjid mungkin belum berlaku di tempat lain, tetapi sikap sesetengah jiran yang tidak menghormati jiran Islamnya terlalu banyak terjadi. Sebenarnya inilah yang lebih besar berbanding kisah anjing diracun tadi.

Menunaikan hak jiran bukan sahaja diajar dalam Islam, bahkan dalam setiap agama menyeru berbuat baik kepada jiran. Apabila manusia telah mengenepikan ajaran agama, akibatnya pelbagai masalah akan timbul menghantui hidup mereka. Sudah pasti kita tidak mahu kehidupan merimaskan seperti membawa gajet pengusir anjing gelombang ultrasonik setiap kali keluar rumah.

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

One comment

Leave a Reply