Salib : Ancaman buat Islam?

Last Updated on

Lampu di Grace Residence di Jelutong, Pulau Pinang membentuk lambang salib gergasi

Isu paparan lambang salib di Grace Residence, Pulau Pinang yang tersebar di media sosial telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini. Ada pihak yang mendakwa pemaju projek perumahan berkenaan terlibat dengan agenda kristianisasi. Agak malang sekali jika isu sebegini dieksploitasi oleh sesetengah pihak yang berkepentingan, sama ada kepentingan politik atau lain-lainnya. Akibatnya, keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini boleh terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dilaporkan menggesa agar isu ini tidak disensasikan sehingga membawa perkara-perkara yang boleh menimbulkan kepada kebencian. Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pula dilapor berkata isu ini mampu diselesaikan dengan mudah jika semua pihak sedia bertolak ansur demi kebaikan bersama, selain Perlembagaan Persekutuan melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain dalam kalangan masyarakat Islam.

Tidak dinafikan isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini  mestilah dielakkan. Begitulah juga sebaliknya, isu-isu yang boleh menyinggung perasaan orang bukan Islam mestilah dielakkan. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, tentunya ada perbezaan pandangan dalam kalangan anggota masyarakat berdasarkan kepercayaan dan kefahaman masing-masing. Perbezaan ini mestilah diuruskan dengan baik dan diselesaikan di dalam suasana yang saling menghormati. Sebarang kekeliruan dan permasalahan yang timbul hendaklah diselesaikan di meja perbincangan.

Dalam hal ini, kempen-kempen kesedaran dan program-program tertentu bolehlah dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan di antara sesama anggota masyarakat. Pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli politik dan juga tokoh-tokoh agama mestilah memainkan peranan masing-masing sebagai ejen yang menyatukan masyarakat, bukan ejen yang memecah-belah.

Sementara itu, bagi umat Islam di negara ini, mungkin persoalan-persoalan yang perlu kita tanya pada diri kita adalah seperti berikut:

  • Apakah isu sebenar yang menimbulkan kegelisahan kita dari insiden ini?
  • Bagaimana paparan simbol salib memberi kesan kepada pegangan agama dan aqidah kita?
  • Adakah kita merasakan maruah agama kita dihina?
  • Adakah golongan bukan Islam di negara ini telah melanggar hak umat Islam atau undang-undang negara?

Beberapa persoalan lain yang berkaitan boleh ditimbulkan juga. Namun, cukuplah dahulu dengan beberapa persoalan di atas sebagai pencetus untuk mengajak kita berfikir.

Ketika kita sedang risau dengan paparan lambang salib yang menghiasi bangunan di Pulau Pinang, di luar sana ada anak-anak Melayu Islam yang tidak mempunyai makanan yang mencukupi, remaja yang sedang dibuai dengan keseronokan yang melalaikan, bayi-bayi kecil tidak sah taraf yang ditinggalkan, ibu-ibu tunggal yang terpinggir dan pelbagai lagi anggota masyarakat yang nasib mereka belum terbela. Pada ketika kita gelisah dengan ancaman yang datang dari luar, apakah peranan yang kita boleh mainkan untuk mengubat penyakit yang melanda umat Islam setelah sekian lama? Apakah sumbangan yang kita boleh berikan untuk membina umat Islam di negara ini?

Justeru, marilah kita kembali kepada perkara-perkara pokok yang dapat meningkatkan jati diri umat Islam dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan perkara-perkara remeh temeh. Apakah keutamaan umat Islam pada hari ini dan bagaimana kita dapat menyumbang ke arah mencapai matlamat yang lebih besar demi memartabatkan umat Islam di Malaysia? Bukankah di antara perkara yang paling pokok bagi orang Islam ialah pendidikan akidah dan keimanan yang seterusnya dapat melahirkan generasi ulung sepertimana generasi para sahabat Rasulullah s.a.w. dan zaman kegemilangan Islam yang terdahulu?

Sehubungan dengan itu juga, marilah kita mulakan usaha-usaha pengislahan dengan diri dan keluarga kita dan pada masa yang sama menyumbang ke arah pembinaan masyarakat dan negara. Firman Allah swt:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka”.  (Ar-Rad: Ayat 11)

Nasib umat Islam hanya dapat berubah apabila kita dapat mengubah diri kita ke arah yang lebih baik seperti ajaran Islam. Perubahan ini hanya akan berlaku melalui pendidikan dan tarbiah yang berterusan serta melalui usaha-usaha yang tersusun dan strategik. Pendekatan-pendekatan pendidikan yang bersesuaian dengan zaman dan kumpulan sasaran hendaklah diambil untuk melahirkan generasi umat Islam yang mampu mengembalikan kita kepada zaman kegemilangan.

Begitulah juga, ceramah-ceramah yang diadakan di masjid-masjid dan surau-surau mestilah membawa mesej yang relevan dengan permasalahan yang dihadapi masyarakat. Rancangan-rancangan yang dipapar melalui saluran media pula mestilah membawa nilai-nilai murni yang  bersesuaian dengan Islam dan juga demografi penonton, sama ada golongan tua atau pun kanak-kanak, warga kota atau pun desa. Pihak media juga, walaupun beroperasi di dalam suasana yang bebas, mestilah berperanan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat di negara ini. 

Rumusannya, marilah kita melihat dan menilai sesuatu perkara dengan perspektif yang lebih luas dan tidak mudah melatah di dalam mengeluarkan kata-kata atau mengambil apa-apa tindakan. Di dalam apa juga keadaan, kita mestilah bijak menilai apa yang sepatutnya menjadi keutamaan dengan menggunakan kaedah yang dianjurkan Islam mahupun kaedah pengurusan moden. Bukankah keadilan itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya?

Penulis: Mohammad Abdul Hamid, YDP IKRAM Bandar Tun Razak

One comment

  • Sdr abd hamid meminta kita meluaskan skop dakwah dan tidak menyempitkannya dgn pandangan yang kononnya ketinggalan dan jumud..tapi secara tak lngsung akhi ni pun buat benda yg sama..ibarat zaman dulu2 bila bdakwah mesti buka kilang kicap kata org al arqam..atau kita kena hidupkn sunnah macam bercelak atau bersugi spt kt org tabligh…maaf ni sebagai contoh shj..akhi ni minta mereka2 yg perjuangkan islam dlm skop garis ammah ini utk menjejaki dan meninggalkan perjuangan sediada kpd perjuangan yg berbentuk khidmat masyrakt yg mana popular di kalangan gerakan2 islah sdiada. Bagi saya lagi baik kita bersikap terbuka..kita dgn cara dan methode kita..org lain biarkan dgn cara mereka asalkn memberi manafaat kpd islam.kalau tidak mcm tu lah..jamaah aku saja yg betul..ikut cara aku..kita kena paham kerja banyak kena buat ibarat tikar yg sudah banyak koyaknya..jahit lah mana2 pun dn janganlah salah menyalah dan lagi teruk kita minta org lain menjahit tempat yg sama kita jahit.

Leave a Reply