Anak-anak di hujung jalan

Last Updated on

Oleh: Nor Zafirah Zahari

PAPARAN berita dan perkembangan terkini yang berlaku di Syria dan Palestin sering membawa fikiran saya terbang jauh ke bumi bertuah, Jordan.

Tahun 2014 menjadi saksi keberadaan saya di tanah para anbiya’ itu. Saya bersama lima lagi rakan ditugaskan untuk menjalankan misi kemanusiaan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) bertujuan untuk memantau projek-projek Islamic Relief (IR) yang dijalankan di sana berkenaan pelarian-pelarian Syria dan Palestin.

Masih terbayang kenangan menyaksikan kanak-kanak perempuan itu berlari mendekati kami yang ketika itu sedang melilau mencari kedai makan di sekitar Bandar Irbid, Jordan. Beliau tidak keseorangan. Seorang kanak-kanak lelaki menemani beliau dan mereka mengekori jejak langkah kami sehingga beberapa langkah.

Sambil berjalan, mereka menyua sebuah kotak kecil berisi gula-gula getah. Fahamlah saya bahawa mereka cuba menjual gula-gula getah itu kepada orang asing seperti kami. Walaupun ditolak pelawaan mereka berkali-kali, tetap juga mereka mengekori perjalanan kami. Di penghujung jalan, terdapat segerombolan lagi kanak-kanak yang menjual pelbagai jenis barangan seperti gula-gula, tisu dan lain-lain.

Anak-anak terpaksa mencari rezeki kerana ibu bapa mereka yang memegang kad UNHCR tidak dibenarkan bekerja. – Gambar hiasan (IRM)

Saya cuba melayani mereka dengan Bahasa Arab yang kurang fasih. Terdetik di hati, dari mana datangnya kanak-kanak ini? Di mana ibu bapa mereka? Namun, persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran. Tiada jawapan pasti untuknya.

Angin dingin bertiup lembut menerima kedatangan kami ke daerah ini. Walaupun sudah mengenakan pakaian tebal, saya masih lagi menggigil kesejukan. Difahamkan ketika itu, musim bunga bakal berlalu pergi, digantikan musim panas bakal menjelma.

Di sepanjang jalan, saya sempat memperhati budaya dan kegiatan masyarakat Jordan yang berada di situ. Apa yang dapat dirumuskan ketika itu, kebanyakan kaum lelaki memenuhi hampir setiap kawasan dan beristirehat di tepi jalan, manakala tidak ramai kalangan wanita yang kelihatan di tempat awam.

Setibanya kami di tengah bandar Irbid, dengan izin Allah, kami terserempak dengan pelajar-pelajar dari Malaysia yang menyambung pelajaran di Universiti Yarmouk. Urusan kami menjadi lebih mudah. Mereka segera membawa kami menukar wang, membeli kad SIM Orange, menunjukkan kami kedai makan milik rakyat Malaysia dan juga kedai cenderahati.

Nor Zafirah (dua dari kanan) bersama sukarelawan misi kemanusiaan. Foto MYNEWSHUB

Kami mengambil kesempatan itu untuk bertanya kepada mereka berkenaan kanak-kanak yang berkeliaran menjual pelbagai barangan tadi. Makluman daripada mereka, kanak-kanak itu adalah pelarian Syria yang terpaksa mencari rezeki buat keluarga mereka.

Selagi mereka tidak dapat wang pada hari itu, selagi itulah mereka tidak berani pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi. Mendengar penerangan itu, kami tertanya-tanya, di mana bapa mereka yang sepatutnya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk mencari nafkah? Di mana ibu mereka yang seharusnya menjaga dan memberi kasih sayang?

Persoalan itu terungkai apabila kami diberitahu bahawa ibu bapa mereka tidak dapat bekerja kerana mereka adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang tidak membenarkan mana-mana ahli untuk bekerja.

Jika mereka tertangkap, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa di negara mana mereka menumpang. Lalu kepada anak-anaklah tempat mereka bergantung. Jika ada rezeki, adalah makanan mereka. Jika tiada, terpaksalah mereka menahan lapar. Hanya Allah Yang Maha Mendengar segala rintihan mereka.

Penjelasan ini menimbulkan rasa kasihan yang teramat dalam kepada mereka yang sedang diuji ini. Terasa bersalah kerana rimas dengan kehadiran mereka di sepanjang jalan tadi. Dalam dunia riang kanak-kanak seperti mereka, tidak pernah terlintas di fikiran untuk hidup sebegitu. Yang diimpikan hanyalah hidup bahagia bersama keluarga. Boleh ke sekolah, bermain-main, berjalan-jalan, dan membeli-belah bersama. Namun ianya hanya tinggal sebagai impian.

Lantas fikiran segera terbayang akan keadaan di Syria. Gerakan kebangkitan rakyat Syria berlaku serentak dengan aktiviti demonstrasi semenjak 15 Mac 2011 di mana telah mencetuskan konflik yang memuncak dan menyebabkan seluruh Syria menjadi lumpuh. Keganasan di bandar-bandar utama Syria hingga kini masih belum berkurangan.

Isu di Syria ini merupakan krisis kemanusiaan yang paling buruk pada abad ke-21. Kira-kira 12.2 juta orang yang terperangkap di dalam Syria kini memerlukan bantuan kemanusiaan. Hampir separuh daripada jumlah tersebut merupakan kanak-kanak yang tidak berupaya.

Apa yang saya lihat dan rasai sendiri di Jordan benar-benar membuka mata saya dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja kemanusiaan bagi membantu lebih ramai lagi insan yang memerlukan. Harapan saya hanya satu, semoga suatu hari nanti, mereka yang kami bantu ini berupaya bangkit semula dan menjadi penolong kepada insan lain.

*Nor Zafirah Zahari adalah sukarelawan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Leave a Reply