Keganasan rumah tangga dan sikap baling baton

Last Updated on

Oleh: Zainal Rashid Ahmad

SEORANG wanita berusia 55 tahun dari Pulau Pinang menghubungi saya untuk mendapatkan nasihat. Isunya, sejak 22 tahun berkahwin, dia sering dibelasah suaminya.

Mengapa selepas 22 tahun baru berasa takut?

Suaminya tidak berkerja dan baru saja berkahwin dengan isteri muda sebulan lalu. Perkahwinan di selatan Thailand. Setelah mengetahui isteri tuanya tidak lagi bekerja sebagai pembantu kantin sejak November lalu kerana cuti sekolah, suaminya sangat marah.

Apakah tidak wujud jenayah keganasan rumah tangga bagi kes serangan fizikal yang lengkap dengan laporan perubatan? – Gambar hiasan

Akibat tidak lagi mendapat wang kerana isteri mengutamakan hasil simpanan untuk menanggung anak yang belajar dalam jurusan perubatan di universiti tempatan, suaminya pun menyinga. Sejak November lalu, wanita ini dibantai hingga tidak mampu berjalan.

Pembantaian itu makin ganas hingga mangsa terpaksa ke hospital. Selain itu, wanita ini hidup dalam ketakutan dan mengalami sindrom kemurungan.

Menyedari dirinya mula memikirkan niat untuk membunuh diri, saya menasihatkan wanita ini mendapatkan rawatan psikiatrik. Cuma, walaupun mangsa segera ke hospital dan mengadu keadaan mentalnya yang tidak stabil, temu janji rawatan pakar hanya dapat diatur dalam tempoh tiga minggu.

Ini satu fobia tambahan kerana dirinya makin kerap dilanda gangguan perasaan mahu membunuh diri.

Laporan polis sudah dibuat entah kali ke berapa. Cuma, kali ini dengan berbekalkan laporan polis terbaharu, wanita ini dinasihatkan melaporkan kesnya ke Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Jadi, wanita ini segera pergi membuat aduan. Berbekalkan laporan polis, wanita ini bergegas ke JAIPP. Satu sesi kaunseling diatur pegawai agama dengan memanggil wanita bersama suaminya.

Namun, proses kaunseling itu gagal kerana suaminya bertindak kasar dan hampir memukul pegawai agama yang memberikan nasihat. Sesi berakhir begitu saja. Wanita ini berhajat menuntut fasakh. Prosesnya mungkin memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Itu makluman pihak JAIPP.

Wanita ini benar-benar putus harapan kerana tekanan ketakutan dan kemurungan semakin teruk. Mustahil dia mampu melalui proses yang memakan masa begitu lama. Ditambah beban suaminya bebas keluar masuk ke rumah selagi tiada perintah mahkamah syariah.

Sebagai wanita tanpa pendidikan, dia tidak tahu apa yang patut dilakukan. Keupayaan terbatas dalam memahami sistem perundangan dan hak-hak sebagai wanita dan isteri menjadikan keadaan makin sukar. Kecelaruan fikiran dan kemurungan menyulitkan lagi kekuatannya untuk berjuang.

Persoalannya: Mengapa langkah-langkah perlindungan tidak dibuat oleh polis? Apakah tidak wujud jenayah keganasan rumah tangga bagi kes serangan fizikal yang lengkap dengan laporan perubatan?

Atau, bagi kes-kes suami isteri, isu keganasan rumah tangga harus dirujuk dan diselesaikan di pejabat agama dan tidak dianggap kes jenayah?Agak aneh, ketika keganasan berlaku dengan laporan perubatan yang lengkap, tindakan seterusnya hanyalah proses kaunseling agama.

Wanita ini hidup ketakutan hampir dua bulan. Suami masih pulang ke rumah dan terus memberikan tekanan mental dan fizikal kerana wanita ini masih tidak mendapat kerja. Kata-mata makian dan ugutan pembantaian terus dilakukan secara berleluasa.

Kalau soalan ini ditanya pada polis, pasti banyak jawapan yang membingungkan akan diberikan. Jawapan yang paling muluk ialah, pergi ke pejabat agama. Di pejabat agama pula, walaupun dicederakan, wanita ini harus ke mahkamah syariah untuk mendapatkan fasakh. Syaratnya pula, mesti mendapatkan peguam. Mudah cerita, sediakan wang, sediakan dokumen bukti dan sediakan senarai saksi.

Secara sinisnya, di negara ini wanitalah yang paling dibela. Malaysia negara yang mengamalkan hak upah kerja sama rata bagi pekerja lelaki dan wanita. Lebih hebat berbanding Amerika Syarikat. Malah, puluhan NGO yang melindungi wanita ditubuhkan dengan menerima sokongan kerajaan, dana korporat dan sumbangan awam.

Di negara ini, wujud undang-undang melindungi wanita daripada keganasan dalam apa juga bentuk pembulian mental dan fizikal. Itu kehebatan negara ini sejak dulu lagi. Wanita negara ini tidak boleh diapa-apakan sekali pun dijentik telinga.

Namun, kes wanita di Pulau Pinang ini antara ribuan kes keganasan rumah tangga dan masalah ketidak adilan dalam perkahwinan yang selalunya berlarutan tanpa tindakan penyelesaian kongkrit.

Apabila jenayah keganasan rumah tangga berlaku, soal hak asasi wanita yang kononnya hebat di negara ini bagaikan tidak wujud. Sistem menguruskan pembelaan tidak berantai dari hospital ke balai polis. Atau dari pejabat agama ke Biro Bantuan Guaman. Sistem antara semua pihak berwajib ini masih lagi silo dan saling tidak berinteraksi.

Dari proses di hospital ke balai polis sampailah ke pejabat agama, isunya jadi rumit dan tidak membantu mangsa. Isteri yang dijadikan beg belasahan suami di rumah, selalunya akan kembali ke rumah dan terus menjadi mangsa.

Artikel ini hanya berminat pada soalan rantaian bantuan. Soal mengapa masih silo dan tidak diselaraskan supaya efisien. Apa lagi, mangsa sukar berdikari kerana berada dalam kekusutan.

Tidak payahlah disenaraikan fakta-fakta dan angka-angka kes keganasan rumah tangga di negara ini untuk rujukan. Atau, menyenaraikan undang-undang dan hak isteri untuk diberikan perlindungan. Lagi banyak kita senaraikan fakta, kita akan berasa semakin sakit hati.

Fakta dan proses adalah dua isu lapuk untuk ditulis kembali. Soal paling utama ialah peranan manusia yang wujud dalam rantaian proses.

Pihak terbabit perlu lebih proaktif dalam menangani kes keganasan rumah tangga.
– Gambar hiasan

Manusia yang berada di hospital sebagai penerima kes keganasan rumah tangga, anggota polis yang menerima laporan dan pegawai jabatan agama yang menerima aduan. Semuanya hanya berfungsi untuk ditemui. Tetapi sukar memberikan bantuan penyelesaian.

Semua pihak dalam lingkaran kes ini, tidak berperanan proaktif. Selain menawarkan bantuan menyiapkan kertas laporan dan sesi kaunseling. Semua orang bekerja seperti mennyiapkan baton untuk mangsa dan tugas mangsa ialah menyerahkan baton ini dari satu tempat ke satu tempat.

Wanita ini berbual dengan saya dengan gangguan depresi dan fobia yang teruk. Saranan untuk bertemu pakar jiwa bagi mendapatkan ubat untuk menenangkan kecelaruan fikirannya, hanya berhasil setakat mendapat tarikh temu janji dua minggu lagi. Wanita ini mengadu dalam keadaan takut kerana dia mungkin segera mahu membunuh diri.

Justeru, saya cemas. Selain menasihatkan apa yang perlu, saya juga menulis rencana ini untuk perhatian pihak berkuasa.

Ertinya, dalam kes wanita ini, wartawan pun masuk ke lingkaran yang sama seperti doktor, polis dan pegawai agama. Semuanya hanya menulis laporan tanda baton sudah diterima.

Esok, kalau wanita ini terjun jambatan Pulau Pinang dan mati lemas, wartawan dan doktor, serta polis dan pegawai agama pasti akan menyimpan baton aduan wanita ini di bawah meja.

Kita akan melupakan baton ini kerana kesnya sudah berakhir. Jadi kertas-kertas laporan tinggal jadi perhiasan dan kenang-kenangan.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera. Beliau telah memenangi 38 hadiah sastera.

Leave a Reply