mySalam lindungi 3.69 juta rakyat

Last Updated on

Perasmian Skim mySalam disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Mulai 1 Mac ini, penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) 2019 bakal menikmati perlindungan takaful menerusi Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam B40.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, skim ini akan meringankan beban kos rawatan dan membantu mengekalkan perbelanjaan harian golongan berkenaan.

Dengan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion oleh syarikat insurans dan takaful, Great Eastern ini dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat berusia 18 hingga 55 tahun.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) di Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Skim Mysalam memberi perlindungan kesihatan percuma bagi 36 penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung, dan alzheimer.

Selain itu penerima akan mendapat bayaran ‘one-off’ RM8,000 jika dikenal pasti menghidap salah satu penyakit tersebut.

Skim ini juga memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian untuk tempoh maksimum 14 hari atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Tambahnya Skim mySalam dijangka menawarkan perlindungan perubatan sekurang-kurangnya 5 tahun untuk golongan sasaran.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata pihaknya akan memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40 yang memberi tumpuan kepada saringan kesihatan iaitu pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Jelasnya, butiran lanjut berhubung skim berkenaan bakal diumumkan pada 28 Januari ini dan akan saling melengkapi skim mySalam yang diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia.

Leave a Reply