Chan dan Kisah Hidupnya: Momen Berharga

Last Updated on

Selalunya kalau naik teksi dan bertemu dengan pemandu yang ramah, pasti hanya pada minit pertama sahaja, kita akan saling bertanya khabar. Hanya minit pertama. Perbualan seterusnya pasti terseret ke isu politik.

Memang itu realiti. Sejak 30 tahun melanggan teksi di Kuala Lumpur, dan dalam tiga dekad yang sama juga, negara telah melalui pelbagai perubahan di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri – secara relatifnya, generasi pemandu teksi turut berubah.

Namun, yang bertukar mungkin orangnya. Tetapi DNA mentalitinya tetap sama. Pemandu teksi adalah kelompok yang tegar berbual isu politik.

Kini – setelah tiga dekad menjadi warga ibu kota – perubahan terus berlaku dan berlaku lagi. Sejak tiga bulan lalu, teksi bukan lagi pilihan utama. Kehadiran servis e-hailing jadi pilihan.

Fenomena e-hailing lebih glamor. Menggunakan kenderaan e-hailing ada nilai tambah bagi gaya hidup yang trendy. Cuma pagi ini, aplikasi e-hailing ada masalah di telefon saya. Jadi, terpaksa kembali ke gaya hidup lama; berdiri di tepi jalan dan menunggu teksi.

Bandar Sri Permaisuri di Cheras, sentiasa dipenuhi pemandu teksi. Berulang-alik antara stesen LRT dan komuter mencari pelanggan. Kawasan ini memiliki 10 ribu rumah pelbagai kelas kehidupan. Jadi, khidmat teksi masih relevan. Hanya dua minit menunggu, teksi pun lalu dan berhenti.

Pemandunya lelaki Cina warga emas dan berkaca mata. Dia tersenyum lembut dan bertanya,

“Encik mau ke mana?”

“Pusat Islam.”

Mendengarkan jawapan saya, pemandu teksi itu tersenyum. Pintu dibuka, setelah saya duduk, kenderaan pun bergerak.

“Alhamdulillah,” kata pemandu teksi dalam pelat Cina.

Memang jelas dia Cina. Memang jelas juga dia seorang yang peramah. Cuma, saya terkedu sekejap. Akhirnya, saya menganggap – perkataan Alhamdulillah yang diungkapkan hanyalah satu latihan mesra. Barangkali, dia seorang Cina yang banyak bergaul dengan orang Islam.

“Uncle asal mana?”, tanya saya.

Dia menjawab cepat, “Lahir sana Masjid Tanah, Melaka. Ayah mati saya umur 12 tahun.”

Saya mendengar jawapan yang ramah. Setelah ayahnya meninggal dunia pada 1970, dia dan ibunya memilih untuk merantau ke Kuala Lumpur. Kebetulan mereka hanya dua beranak. Dua abangnya mati pada usia belum lima tahun kerana masalah kesihatan – itu sejarah zaman belum merdeka – cerita pemandu teksi ini.

“Saya sama emak mari Kuala Lumpur. Duduk sana setinggan Jalan Tiga, Chan Sow Lin,” katanya.

Waktu itu, barulah saya terpandang permit teksi di atas papan muka kereta. Masya Allah. Namanya Abdullah Chan Yan. Saya terkedu malu kerana baru menyedari pemandu teksi itu seorang Muslim.

Abdullah Chan meneruskan cerita zaman kecilnya di Kuala Lumpur. Setiap hari sejak menetap sebagai setinggan di Jalan Chan Sow Lin, dia dan ibunya akan menaiki bas Tong Fong ke Balakong. Rutin yang kekal tujuh hari seminggu.

“Itu jam, saya sama emak potong getah sana kebun Balakong.”

Saya terpegun – mendengar sejarah personal kisah migrasi dua beranak dari Melaka ke Kuala Lumpur. Sejarah hampir setengah abad lalu. Kisah tahun 1970. Waktu itu, saya belum kenal pun Kuala Lumpur. Apa lagi nama Balakong.

Malah, melalui cerita Abdullah Chan juga, baru saya perasan, kawasan Jalan Chan Sow Lin dulunya kampung setinggan komuniti Cina.

Sejarah bas Tong Fong turut menggamit memori ketika saya muka merantau ke Kuala Lumpur. Saya masih sempat menggunakan bas Tong Fong pada 1984.

Tong Fong antara warisan sejarah tranformasi pengangkutan awam di ibu kota. Bas ini masih wujud pada pertengahan dekad 80an, sebelum berkubur pada dekad 90an.

“Bila masuk Islam?”, tanya saya.

Abdullah Chan menjawab pantas, “2014. Mahu masuk awal, tapi saya takut emak kecil hati. Bila emak mati tahun 2008, baru saya mari belajar Islam. Jumpa ramai kawan Cina masuk Islam. Jadi saya pun cakap, sudah lama mahu masuk Islam.”

Abdullah Chan lahir tahun 1958. Tahun ini usianya genap 61 tahun. Dia tidak berkahwin. Sejak usia muda, dia menjaga ibunya yang sakit dan meninggal dunia sepuluh tahun lalu pada usia 89 tahun.

Kami tiba di Pusat Islam 15 minit kemudian. Setelah bersalaman dan saling mengucapkan doa semoga dirahmati Allah, saya turun dan teksinya berlalu pergi.

Semuanya tiba-tiba terasa indah. Hati jadi aman dan tenang kerana menikmati perjalanan bersama pemandu teksi tanpa perlu berbual hal-hal politik.

Malah, dapat mengenali seseorang muallaf yang kaya pengalaman hidupnya dan sudi berkongsi sejarah dirinya dengan mesra dan ramah. Mengenali Abdullah Chan, pada saya – satu pengalaman yang amat berharga.

Kehidupan Kuala Lumpur kini sangat drastik dan serba individualistik. Kita tidak sempat saling mengenal, sekali pun jiran tetangga. Malah, ada masa kita tidak sempat kenal diri sendiri pun.

Moga Allah merahmati Abdullah Chan. Amin Ya Rabb Alamin

*Zainal Rashid Ahmad, penulis ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

Leave a Reply