Kantin sekolah ala hipster

Last Updated on

Mohd Azizul dan isterinya Nurul ‘Ain Abdul Rahim menunjukkan set ayam goreng ‘snack plate’ yang turut menjadi kegemaran di kafe mereka

KEMAMAN – Menjejakkan kaki ke dalam Iman Cafe pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terpegun dan terlupa bahawa ia adalah kantin sekolah.

Terletak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman di Chukai, di sini, Iman Cafe yang berkonsepkan ‘hipster’ membuatkan mereka yang masuk ke kafe itu merasa seakan berada di restoran hipster di bandar-bandar besar termasuk kota metropolitan Kuala Lumpur.

Iman Cafe yang terletak dalam SK Seri Iman ini menjadi satu-satunya kantin berkonsep hipster di Kemaman.

Hiasan dinding yang menenangkan, penggunaan kerusi dan meja rekaan terkini, kemasan lantai trend baharu dan sistem pencahayaan yang mempesona menjadikan kafe itu tampak eksklusif.

Namun, meskipun nampak seperti kafe untuk golongan ‘ada-ada’ tetapi harga makanannya tetap murah seperti mana harga makanan di kantin sekolah lain.

Jangan tidak percaya, set hidangan ‘chicken chop’ yang dijual semurah RM6 untuk guru dan RM3 untuk murid.

Set ‘chicken chop’ untuk guru ini cuma berharga RM6 di Iman Cafe.

Pengusaha Iman Cafe, Mohd Azizul Maliki berkata, set chicken chop adalah sebahagian daripada menu ala barat yang disajikan di kafenya yang dinaik taraf dari kantin sedia ada.

Katanya, kantin itu mula bertukar wajah sejak bermulanya sesi persekolahan baharu pada 1 Januari lalu dan seiring dengan perubahannya, banyak menu ala barat diperkenalkan.

“Hidangan ‘western food’ paling popular di kafe ini adalah ‘chicken chop’. Walaupun harganya murah, tetapi ‘portion’ atau saiz hidangannya bukanlah kecil sebaliknya saiznya sangat berbaloi dengan harga dan ia sememangnya mengenyangkan.

“Set ‘chicken chop’ ini terdiri daripada kepingan ayam goreng bersalut digoreng keemasan, kentang goreng dan salad ‘coleslaw’,” katanya.

Selain chicken chop, Mohd Azizul, 32, berkata, hidangan ala barat lain yang turut sajikan adalah set ayam goreng ‘snack plate’, ‘sizzling mee’, spageti carbonara dan spageti oglio olio.

Menurutnya, semua menu itu disediakan tukang masaknya yang mengikuti kursus kulinari dan mempelajari cara memasak kesemua menu barat berkenaan.

Kata bapa kepada dua anak itu, jika tidak mahu menikmati hidangan barat, guru dan murid bebas memilih hidangan lain yang disediakan setiap hari.

“Kita sediakan enam lauk makan tengah hari iaitu lauk pauk masakan ala kampung, nasi dagang, nasi kunyit, nasi kerabu dan bermacam-macam lagi.

“Waktu tengah hari juga kita sediakan pencuci mulut seperti pengat pisang, pengat ubi, pengat durian, bubur kacang dan bingka ubi,” katanya.

Ditanya mengenai konsep hipster yang diketengahkan, Mohd Azizul memberitahu, konsep yang menjadi trend atau ikutan sekarang itu mencetuskan idea kepadanya untuk merubah wajah kantin berkenaan.

“Setiap tahun memang pihak sekolah minta buat pembaharuan jadi satu ketika saya mati idea sebelum terlintas dalam kepala pasal konsep hipster sebab sekarang rata-rata premis makanan naikkan konsep ini.

“Biarpun terpaksa keluarkan modal yang agak banyak untuk transformasikan wajah kantin ini tapi saya puas hati dengan hasilnya malah semua cikgu dan murid suka dengan Iman Cafe ini.

“Saya ambil masa selama sebulan untuk ubah suai kantin ini dan cikgu sekolah ini juga banyak beri idea dan tunjuk ajar dalam proses ubah suai ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Seri Iman, Rosnaida Mohd Nor berkata, pihak sekolah teruja dan seronok kerana pengusaha kantin rela berhabis wang demi keceriaan sekolah.

“Kafe ala hipster ini jadi kejutan sempena tahun baharu kepada semua warga sekolah dan ia juga menjadi kantin hipster pertama di Kemaman setakat ini.

“Saya turut kongsi gambar Cafe Iman ini di laman sosial Facebook dan ia dikongsi lebih 100 pemilik akaun lain sekali gus menunjukkan ia mendapat perhatian orang ramai di luar sana,” katanya.

Menurutnya, Iman Cafe sekarang turut menjadi kebangsaan pihak sekolah dan boleh menjadi contoh di tempat-tempat lain.

“Diharap selepas ini pengusaha Iman Cafe beri yang lebih baik lagi seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada pengusaha-pengusaha lain,” katanya. – SINAR ONLINE

Leave a Reply