TRAGEDI 2 JANUARI 1492

Last Updated on

Kehebatan senibina istana Al- Hambra memperlihatkan daya kreativiti dan nilai kesenian tinggi yang dimiliki oleh pakar senibina Islam.

Kecemerlangan Andalusia di bawah pemerintahan Islam berlangsung selama hampir 8 abad, suatu jarak yang seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat dunia.

Bermula dengan kejayaan Tariq ibn Ziyad menguasai Andalusia pada tahun 711M sehingga kerajaan Nasiriyyah atau Bani Ahmar mengakhiri pada tahun 1492M, merupakan zaman yang cukup membuktikan betapa kemunculan tamadun barat ada perkaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Kota Andalusia.

Sehingga kini, Andalusia menjadi tempat bersejarah. Ramai pengkaji dari pelbagai negara melakukan pengkajian kesan peninggalan Islam di sana.

Keunikan kedudukannya, ditambah pula dengan kepelbagaian bangsa dan agama ketika pemerintahan Islam dan kecemerlangan budaya ilmu yang berlaku di Andalusia telah menyebabkan rantau ini menjadi sangat penting dalam menggali sejarah untuk melihat sumbangannya dalam ketamadunan moden.

Masakan tidak, kebanyakan ilmu-ilmu moden seperti matematik, fizik, astronomi dan lainnya pernah berkembang pesat di Andalusia tanpa mengira batas perbezaan agama.

Maka, nama-nama besar seperti Maimonides (1135M-1205M) – seorang ahli teologi pernah terkenal di Andalusia pada zaman pemerintahan Islam, walaupun beliau berasal daripada bangsa Yahudi.

Ketika itulah dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang pesat dengan munculnya tokoh dalam kalangan Islam seperti Ibn Rushd (1126M-1198M) yang dapat berdialog dan mempertahankan idea-idea Islam dengan golongan Yahudi. Pemikiran ini jualah telah mempengaruhi golongan Kristian yang dipimpin oleh Tomas Aquinas (1225M-1274M) selepas zamannya.

Kepesatan keilmuan yang mendominasi Andalusia pada waktu kemuncaknya adalah ketika rantau ini berada di bawah pemerintahan Islam. Kejayaan Islam membawa ketamadunan di barat melalui Andalusia sesungguhnya sesuatu yang sangat unik.

Permulaan kisah duka berlaku apabila kerajaan-kerajaan kecil yang muncul di Andalusia terbentuk apabila kepimpinan utama mulai lemah.

Lebih tepat lagi, ia rentetan daripada kelemahan pemimpin di kalangan Bani Umaiyyah yang menguasai Andalusia selepas daripada Khalifah al-Muntansar Billah (961-976M).

Semasa pemerintahan Islam, Andalusia terkenal dengan keindahan senibina yang memiliki elemen estetika yang mengagumkan.

Bermula dari ini, Andalusia yang diperintah oleh sebuah kerajaan, berpecah menjadi banyak daerah kecil yang membentuk lebih daripada 20 kerajaan kecil.

Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini yang turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa’if wujud disebabkan oleh antaranya semangat kepuakan, iaitu ingin mengangkat puak sendiri.

Mereka seolah-olah secara tidak langsung telah tidak perpegang kepada semangat Ukhuwwah Islamiyyah dan seakan menjerumus kepada perkauman sesama sendiri.

Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova mengalami masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling menindas semata untuk merebut jawatan khalifah.

Secara tidak langsung, kerajaan-kerajaan kecil ini wujud pada dekad akhir pemerintahan Bani Umaiyyah di Andalusia, iaitu kira-kira sekitar tahun 403H / 1012M.

Namun bibit-bibit perpecahan awal telah pun wujud atau dapat dilihat 20 tahun lebih awal iaitu semasa Khalifah Hisham II yang memegang tampuk pemerintahan.

Perpecahan adalah jelas ketara setelah al-Mansur Ibn Abi Amir meninggal dunia pada tahun 392H / 1002M.

2 Januari 1492 merupakan detik hitam di dalam sejarah umat Islam khususnya umat Islam di Granada.

Kejatuhan Granada di tangan Ferdinand II Of Aragon dan Isabella of Castille menyebabkan runtuhnya empayar Islam Nasrid di tanah Andalus.

Ferdinand dan Isabella menggunakan moto dan polisi ‘To Constitute Spain to The Service of God‘ dan ‘All-Christian Spain‘ bagi menjustifikasikan perang ini.

Antara punca besar kejatuhan ini juga adalah akibat peperangan dan pergaduhan antara pemerintah dan umat Islam di Tanah Andalus.

Peperangan berlaku di antara Abū Abd Allāh Muhammad XII atau Boabdil yang dikenali sebagai seorang pemerintah yang lemah dan seorang putera yang memberontak menentang ayahnya Abū Al-Hassān Alī dikenali sebagai Mullay Hassan, dan pakciknya Abū Abd Allāh Muhammad III dikenali sebagai el-Zagal.

Pada tahun 1483, Boabdil telah ditawan di Lucena oleh tentera Kristian dan akhirnya beliau tunduk dengan perjanjian dengan Ferdinand dan Isabella untuk ‘bekerjasama’ (taat) kepada mereka dan dijanjikan ‘habuan’ iaitu bakal dilantik sebagai pemerintah Granada, satu kedudukan yang sememangnya diidam-idamkan oleh Boabdil.

Ketika serangan Ferdinand II keatas Mullay Hassan dan El-Zagal di Malaga, Ferdinand II telah meminta Boabdil untuk tidak masuk campur di dalam serangan keatas Malaga. Akhirnya, Malaga jatuh ke tangan Kerajaan Kristian.

Kemudiannya Bandar Baza, Almuñécar, Salobreña dan Almería.

Terakhir sekali, pada Januari tahun 1492, Boabdil telah diseru oleh Ferdinand II untuk menyerahkan Granada setelah beberapa bulan dikepung.

Pada tanggal 2 Januari 1492, umat Islam telah kehilangan tanah Andalus dan dipaksa memeluk Kristian atau diusir dan tanah serta harta mereka dirampas. Mereka yang enggan akan dibunuh oleh kerajaan Kristian Spain.

Kejatuhan Granada telah merubah landskap Eropah menyebabkan Eropah tiada negara Islam sehingga kini dan manifesto ‘All-Christian berjaya ditegakkan di Eropah.

Leave a Reply