Menderita kesakitan dalam dingin salji

Last Updated on

Muhammad Zarzur (kiri) dan Ahmad (kanan).

JABAL HAYAT, LUBNAN – Salji tebal memutih memenuhi kawasan kem pelarian Syria di Jabal Hayat, Qaroun, Lubnan. Sepasang kembar seiras yang comel sambil bergurau senda berlari-lari menuju ayah mereka.

Jika dipandang sekali imbas, Ahmad dan Muhammad Zarzur yang berusia lima tahun ini kelihatan sempurna seperti kanak-kanak pelarian Syria lain.

Muhammad bersama rakan-rakannya di Kem pelarian Syria di Lubnan.

Tiada siapa menyangka sebenarnya Muhammad dilahirkan dengan kecacatan pada kaki sehingga menyebabkannya tidak dapat berjalan dan memerlukan rawatan untuk membetulkan semula kaki kanannya.

Ketika berusia setahun, dia dibedah dengan kos 2,000 dolar. Wang tersebut dikumpul bapanya, Khalid Zarzur hasil daripada pendapatan sebanyak 400 dolar sebulan.

Rawatan susulan pula menelan belanja sebanyak 1,000 dolar. Malangnya, pembedahan itu tidak berhasil memulihkan Muhammad dari kecacatannya.

Setelah empat tahun, Muhammad dibedah sekali lagi atas tanggungan pihak NGO Lubnan namun keluarga Muhammad terpaksa menanggung kos rawatan susulan.

Ini menimbulkan masalah kepada Khalid kerana ketika musim sejuk bersalji, dia tidak dapat bekerja kerana bidang kerjanya menghentikan operasi selama empat bulan pada musim begini. Khalid kehilangan punca pendapatan.

Lebih malang, kedinginan salju yang mencucuk hingga ke tulang menambah parah keadaan Muhammad di mana kesakitan yang dirasa akan melipat berkali ganda berbanding dalam cuaca biasa.

Ibu Muhammad, Maram Zarzur menceritakan, pernah pada satu ketika Muhammad menangis berjam-jam lamanya kerana tidak dapat menahan sakit di kaki akibat cuaca sejuk.

Ibunya hanya mampu menenangkannya dengan zikir kerana hanya itu usaha yang mampu dilakukan dalam keadaan tersebut. Mereka kekurangan ubat kerana menurut Maram, ubat-ubatan yang diperlukan Muhammad amat mahal, dan perlu diambil secara berterusan pula.

Penulis bersama Muhammad sewaktu berkunjung ke penempatan mereka baru-baru ini.

Dan jika Muhammad tidak mendapat rawatan sewajarnya, berkemungkinan besar kanak-kanak comel bermata perang dan rambut keemasan ini akan cacat buat selama-lamanya.

* HANAN MOHD SAID adalah wartawan TV Alhijrah yang mengikuti misi kemanusiaan di Kem Pelarian Syria di Lubnan anjuran MAPIM baru-baru ini.

Leave a Reply