Tiada kompromi perihal Israel

Last Updated on

Oleh: Dr Azmi Hassan
Kekejaman rejim Israel melampaui batas kemanusiaan.

WALAUPUN berhadapan dengan tekanan antarabangsa, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed tetap kekal dengan keputusan untuk menghalang kemasukan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos 2019.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Malaysia tidak dapat menerima atlet Israel walaupun mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Akhirnya keputusan kerajaan Malaysia itu memaksa Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia untuk menganjurkan kejohanan tersebut dan keputusan itu sudah dijangkakan keranan tekanan bukan sahaja terbit dari Israel tetapi rakan Israel adalah begitu hebat sekali.

Timbul kemusykilan sama ada keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel turut serta sama ada memberi manfaat kepada negara atau sebaliknya kerana ada pihak yang menyelar tindakan Malaysia yang berhujah tidak sepatutnya mencampuri urusan politik dengan sukan.

Malah ada yang berpendapat Malaysia akan menghadapi kesukaran untuk menganjurkan bukan sahaja acara sukan tetapi juga acara antarabangsa lain kerana besar kemungkinan acara lain akan turut disertai oleh peserta Israel.

Apakah dengan keputusan seperti ini akan membuatkan Malaysia terlepas peluang untuk memperkenalkan negara kepada masyarakat antarabangsa, kerana penganjuran acara seperti ini adalah landasan terbaik untuk orang asing mengenali lebih dekat Malaysia.

Umpamanya ketika Malaysia menjadi tuan rumah Forum Bandar Sedunia ke 9 (WUF) pada Februari 2018, perhatian dunia tertumpu ke Kuala Lumpur pada ketika itu. Harapannya ialah pendedahan sedemikian rupa akan membuatkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancong antarabangsa.

Perlu ditekankan juga salah satu syarat hak penganjuran WUF diberi kepada Malaysia adalah Kuala Lumpur tidak boleh menghalang mana-mana peserta dari negara luar dan ini termasuk Israel. Seperti diketahui beberapa pihak di Malaysia telah membantah kehadiran peserta Israel dalam WUF9.

Tetapi lazimnya Malaysia sentiasa konsisten dalam mengamalkan dasar menyisihkan Israel dalam setiap bentuk hubungan. Malah Malaysia juga secara langsung menyokong program yang dikenali sebagai BDS iaitu program memboikot, tidak melabur dan kenakan sekatan apa sahaja berkait dengan Israel. BDS yang mula diperkenalkan pada 2005 merangkumi semua perkara berkait Israel termasuk diplomatik, perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan juga sukan.

Perlu ditekankan kontroversi Malaysia berkait Israel dan sukan bukanlah kali pertama tercetus kerana pada 2015 kerajaan Malaysia tidak meluluskan permohonan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang berhasrat untuk bertanding dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia yang akan diadakan di Langkawi pada Januari 2016.

Berita tersebut mendapat perhatian dunia kerana kejohanan yang di anjurkan oleh Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (ISAF) adalah bertaraf antarabangsa dan berprestij yang telah bermula sejak tahun 1971 lagi. Kejohanan di Langkawi adalah edisi ke 45 dan disertai oleh lebih 400 peserta remaja dari 80 negara.

Seperti mana ada suara yang membantah keputusan kerajaan tidak memberi visa kepada atlet paralimpik renang ketika ini, ada juga rakyat Malaysia yang menuduh tindakan kerajaan yang tidak meluluskan visa kepada dua atlit Israel untuk kejohanan ISAF 2016 itu sebagai mencampuri urusan politik dan sukan.

Lebih mengaibkan lagi apabila tuduhan tersebut berpunca dari kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ahli politik berpengalaman.

Memang benar politik dan sukan tidak boleh dicampur aduk kerana asasnya sukan merentasi ideologi politik. Tetapi hakikatnya adalah sudah acap kali sukan digunakan sebagai senjata untuk meraih manfaat politik dan senario sebegini sudah dianggap begitu lazim.

India dan Pakistan umpamanya sering menggunakan pentas sukan untuk menonjolkan permusuhan politik di antara kedua-dua negara yang mempunyai kaitan sejarah yang rapat.

Apabila Malaysia menggunakan faktor sukan sebagai wadah untuk menyampaikan isyarat rakyat Malaysia mahu menyaksikan Israel meninggalkan wilayah yang ditakluk, kita bukannya negara yang pertama melakukannya kerana tindakan memboikot Israel adalah sesuatu yang begitu lumrah yang mencakupi pelbagai sektor seperti hasrat BDS.

Sebab itu juga rakyat jangan mudah terpedaya dengan slogan politik dan sukan tidak boleh dicampur aduk kerana kekejaman rejim Israel melampaui batas kemanusiaan.

* Dr. Azmi Hassan  adalah Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Leave a Reply