DNA dikesan pada tong gas di pusat tahfiz

Last Updated on

23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kampung Datuk Keramat meninggal dunia dalam kejadian kebakaran pada 14 September 2017.

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberitahu terdapat kesan DNA seorang lelaki pada tong gas yang ditemukan di pusat tahfiz itu.

Tong gas tersebut dipercayai digunakan untuk membakar bangunan tersebut, dua tahun lalu, lapor Sinar Online yang memetik Bernama.

Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Inspektor Mohamad Fairol Abu Bakar berkata DNA milik seorang lelaki itu diperolehi pada bahagian kepala paip tong gas itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu bagaimanapun berkata, DNA lelaki itu tidak sepadan dengan kedua-dua lelaki yang merupakan tertuduh dalam kes pembunuhan itu.

“Berdasar laporan kimia, ya, benar (laporan DNA seorang lelaki telah ditemui dan ia tidak sepadan dengan kedua-dua tertuduh),” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, hari ini.

Mohamad Fairol ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dan bertanggungjawab sebagai pegawai khas mengendalikan barang kes berkaitan kebakaran itu termasuk yang diperoleh di tempat kejadian, daripada mangsa dan tertuduh.

Pada prosiding sama, saksi pendakwaan ke-38, Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Muhd Yunus Muhamad Nor berkata pada hari kejadian beliau telah mendaftarkan kesemua 23 mayat mangsa kebakaran itu yang diterima dari 10.45 pagi hingga 12.30 tengah hari, pada hari yang sama kejadian kebakaran itu berlaku.

“Selepas pendaftaran selesai, saya serahkan mayat kepada pegawai perubatan untuk dibedah siasat,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Saksi itu berkata bedah siasat ke atas kesemua mangsa dikendalikan empat pegawai perubatan iaitu Dr S. Kunasilan, Dr Nurliza Abdullah, Dr Siew Sheue Feng dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 18 Februari.

Leave a Reply