RM2.3b bagi usahawan wanita pada 2018

Last Updated on

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada ‘ASEAN-Japan Women Entrepreneurs Linkage Program’ semalam. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.3 bilion dalam 10 program keusahawanan wanita pada tahun lepas untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program itu menyediakan latihan intensif dalam keusahawanan, sokongan eksport dan bantuan kewangan kepada usahawan wanita.

“Program ini telah memberi manfaat kepada 364,052 penerima perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam ucaptama pada ASEAN-Japan Women Entrepreneurs’ Linkage Programme (AJWELP) semalam.

Menurut beliau lagi, di Malaysia perniagaan milik wanita membentuk 20.6 peratus daripada 907,065 jumlah PKS di Malaysia.

“Ini jauh lebih rendah daripada perniagaan milik lelaki dan daripada jumlah itu, sebanyak 97.2 peratus wanita dalam sektor perkhidmatan,” jelas beliau lagi.

Mengenai AJWELP, Wan Azizah berkata program tersebut akan mencapai kejayaan yang besar dalam memperkasakan wanita di ASEAN berikutan ia kini dalam tahun ketiga berturut-turut pelaksanaannya, lapor Sinar Online yang memetik Bernama.

Dianggarkan sebanyak 61.3 juta usahawan wanita memiliki dan mengendalikan perniagaan di ASEAN, menyumbang 9.8 peratus daripada jumlah penduduk ASEAN.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Wira Dr Mohd Hatta menyeru lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian juga akan melihat kepada bidang dan sektor baharu untuk mencapai sasaran sumbangan PKS sebanyak 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

“Kami akan membawa perusahaan dan usahawan baharu, terutamanya usahawan wanita dan kumpulan B40,” katanya.

Mohd Hatta berkata hubungan antara PKS dan syarikat besar masih lemah, dengan PKS tidak mendapat manfaat berikutan mereka membuat pembelian daripada syarikat.

“Kita perlu mengubah keadaan, dan kita memerlukan syarikat yang lebih besar membeli daripada PKS tempatan, menyokong mereka dan akhirnya mencapai sasaran 41 peratus menjelang 2020,” katanya.

Leave a Reply