Sultan Pahang angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Last Updated on

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimumah Iskandariah selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, hari ini.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Al-Sultan Abdullah, 59 tahun melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan sembilan  Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lalu bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tiba di Dataran Parlimen dengan  diiringi kenderaan pengiring diraja. Al-Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Baginda tiba di Kompleks Bunga raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA jam 9.10 pagi menerusi pesawat khas yang diterbangkan dari Pengkalan Tentera Udara Kuantan.

Al-Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Pemilihan itu berdasarkan sistem penggiliran sebagaimana tradisi sebelum ini dan Malaysia muncul satu-satunya negara dari 43 negara Raja Berpelembagaan yang mengamalkan sistem penggiliran berkenaan.

Leave a Reply