Luaskan skop boikot jika Melayu benar-benar serius

Last Updated on

Boikot biasanya menyeru pengguna melalui kempen untuk tidak menggunakan barangan atau perkhidmatan sehingga ia menjejaskan perniagaan syarikat yang disasarkan. – GAMBAR HIASAN

MUTAKHIR ini, terdapat pelbagai mesej di aplikasi whatsapp atau media sosial yang menyeru orang Melayu untuk memboikot sesetengah produk atau syarikat dari kaum-kaum tertentu di negara ini.

Dalam program boikot tersebut, orang Melayu diseru untuk membeli produk atau perkhidmatan alternatif yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang dimiliki oleh orang-orang Melayu sendiri.

Boikot biasanya menyeru pengguna melalui kempen untuk tidak menggunakan barangan atau perkhidmatan sehingga ia menjejaskan perniagaan syarikat yang disasarkan.

Melalui boikot, syarikat yang terlibat dengan agenda-agenda yang tidak dipersetujui oleh penganjur boikot diharapkan akan berhenti daripada menyokong agenda-agenda yang menjadi punca kepada program boikot tersebut. Di antara program boikot yang kita biasa dengar adalah berkaitan dengan syarikat yang menjalankan perniagaan dengan negara haram Israel.

Boikot tersebut telah memberi kesan kepada beberapa syarikat antarabangsa yang melabur atau menjalankan perniagaan di Israel sehinggakan mereka telah bertindak menghentikan operasi perniagaan yang melibatkan negara tersebut. Apabila mencapai tahap ini, boikot bolehlah dikatakan berjaya kerana mencapai objektif yang ditetapkan.

Sebagai pengguna, adalah menjadi hak bagi kita untuk memilih produk dan jenama yang ingin digunakan mengikut keperluan dan bajet masing-masing. Bagi kebanyakan orang, harga menjadi faktor penentu utama dalam memilih barangan atau perkhidmatan yang akan dibeli. Sememangnya, di pasaran terbuka, harga menjadi faktor utama yang menentukan permintaan dan pembekalan sesuatu produk. 

Berbalik kepada boikot yang sedang disebarkan sekarang, sebagai bangsa majoriti di negara ini, orang Melayu adalah kumpulan pengguna paling besar. Dengan kedudukan ini, orang Melayu mempunyai kuasa untuk menentukan produk mana yang boleh kekal di pasaran atau sebaliknya, dengan syarat mereka bersatu dan terdapat alternatif lain yang boleh menggantikan produk yag diboikot.

Syarat untuk orang Melayu bersatu sebenarnya satu syarat yang amat sukar untuk dicapai. Realitinya, setelah lebih enam dekad merdeka, orang Melayu masih berpecah belah. Atau dengan kata yang lebih spesifik, orang Melayu pada hari ini masih lagi belum menjadi blok ekonomi kuat yang mampu menentukan keadaan pasaran secara langsung.

Meneliti dengan lebih mendalam, mungkin persoalan yang lebih besar adalah berhubung martabat ekonomi orang Melayu terutama di dalam bidang perniagaan. Dalam erti kata, adakah ekonomi orang Melayu sudah berada pada tahap yang setanding dan mampu bersaing di pasaran terbuka? Jika ini berlaku, tiada sangsi masyarakat di negara ini boleh memilih barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat pengeluar Melayu.  

Setelah lebih 60 tahun merdeka, diperintah oleh kerajaan persekutuan yang didominasi oleh orang Melayu dan dengan pelbagai inisiatif yang ditawarkan untuk menggalakkan orang-orang Melayu menceburkan diri di dalam bidang perniagaan, tentunya sudah ada kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh syarikat orang-orang Melayu.

Namun, jika orang Melayu rata-ratanya hanya mampu menjadi pengguna, apa juga boikot yang dilaksanakan terhadap produk bangsa lain sudah tentu gagal mencapai matlamat. 

Seharusnya kumpulan yang melaksanakan kempen boikot ini meluaskan lagi skop boikot mereka jika mereka benar-benar inginkan kempen boikot tersebut memberi kesan yang diharapkan dan berpanjangan.   

Golongan pakar dan pemegang taruh dari pelbagai bidang dan latarbelakang bolehlah dirujuk untuk mendapatkan khidmat nasihat dan seterusnya merangka strategi jangka pendek dan jangka panjang. Tindakan-tindakan yang disarankan pula hendaklah berdasarkan data, fakta dan kajian yang tepat, dan tidak dipengaruhi sentimen semata-mata.

Sikap yang rasional dan objektif sangat diperlukan untuk menghasilkan pelan yang baik dan berpijak di bumi nyata. Taraf pendidikan, mentaliti, sikap dan pelbagai faktor lagi berperanan di dalam memartabatkan ekonomi orang Melayu.

Persoalan yang lebih besar lagi, pada era globalisasi dunia tanpa sempadan hari ini, adakah model perniagaan yang berorientasikan bangsa ini adalah model yang terbaik untuk mencapai kemakmuran ekonomi yang diidamkan? Perlukah diusahakan formula ekonomi berbentuk kolaboratif  yang lebih mencerminkan komposisi masyarakat majmuk dan anggota masyarakat yang pelbagai ke arah pembangunan yang lebih inklusif?

Apapun, masa akan menentukan sejauh mana program boikot yang sedang dipromosikan akan berjaya. Semangat dan solidariti memang diperlukan, namun biarlah ia berpaksikan kefahaman dan objektif yang jelas dengan disertakan dengan program-program yang mantap.

*Mohammad Abdul Hamid adalah YDP IKRAM Bandar Tun Razak

Share this:


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *