Suri rumah diarah pulangkan RM95,000

Last Updated on

Mohd Zubir (kanan) berbincang dengan ahli keluarga daripada lima beradik (plaintif) di luar kamar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengarahkan seorang suri rumah memulangkan semula RM95,000, iaitu hasil jualan tanah pusaka milik lima beradik yang dijual tanpa pengetahuan.

Hanisah Mohd, 49, turut diarahkan membayar lain-lain kos berjumlah RM15,000 antaranya  ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman semua plaintif. Mahkamah juga membatalkan pendaftaran hak milik tanah pusaka yang sebelum ini atas nama wanita tersebut.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati Hanisah selaku defendan melakukan penipuan dalam urusniaga menjual enam lot tanah pusaka milik kelima-lima beradik itu tanpa pengetahuan, lapor Sinar Harian.

Defendan didapati melakukan penipuan itu dengan cara memalsukan tandatangan tiga daripada mereka semasa proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Jabatan Kimia turut mengesahkan kesemua tandatangan yang dibuat di setiap dokumen jualan tanah berkenaan adalah palsu.

Sebelum ini, Muhazian Mohd,41, juga mewakili Mohd Kamal Mohd yang sudah meninggal dunia, Mohd Zainuddin Mohd, 34, Mohd Hairul Nizam Mohd, 29 dan Nor Azahar Mohd, 51, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates dan Saiffuddin Othman.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Hakim Datuk Zainal Azman yang menghakimi tuntutan tersebut.

Dalam tuntutan tersebut, plaintif-plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan kesemua tuntutan dibuat antaranya melibatkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.

Leave a Reply