Ibu tetap bersyukur walau anak terkorban

Last Updated on

Nurdiana Alwani (kanan) yang berada dalam kenderaan terjunam ke sungai tidak dapat menahan sebak selepas berjumpa dan memohon maaf daripada ibu mangsa, Masitah.

KUALA LUMPUR –   Ibu pemancing yang ditemui maut selepas menyelamatkan lima sekeluarga yang terjatuh bersama kereta dalam Sungai Terengganu Jumaat lalu bersyukur kerana mayat anaknya dijumpai terapung pagi ini

Masitah Awang, 60, berkata, beliau hanya mengetahui penemuan mayat anaknya,  Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian itu pagi ini.

“Meskipun hanya mampu lihat jasadnya yang kaku, tetapi saya tetap bersyukur kerana akhirnya anak saya ada ‘kubur’,” demikian luah Masitah kepada Sinar Harian di perkarangan bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),  Kuala Terengganu pagi tadi.

Menurutnya,  selepas kejadian itu berlaku pada Jumaat mereka sekeluarga berkampung di tempat kejadian dan cuma pulang ke rumah untuk sembahyang dan mandi  kemudian pergi semula ke tempat berkenaan.

“Pagi tadi ketika saya sedang bersiap hendak pergi semula ke lokasi saya menerima panggilan daripada ahli keluarga yang sedang menunggu di lokasi memaklumkan arwah dah dijumpai,”  jelas Masitah.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.

Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf yang dikatakan mengalami kekejangan otot menyebabkan dia gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.

Mayatnya  ditemukan terapung di muara Kuala Tanjung  pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Leave a Reply