Kelebihan menyantuni asnaf

Last Updated on

Oleh: Nor Zafirah Zahari

BERAPA ramai di antara kita yang benar-benar mengambil berat tentang kesusahan hidup insan lain yang berada di sekeliling kita? Berapa ramai di antara kita yang selalu mendoakan saudara-saudara kita yang diuji dengan bencana, peperangan, dan sebagainya?

Penerima manfaat di Indonesia

Sedarkah kita, menyenangkan dan menggembirakan orang lain merupakan antara amalan yang paling disukai Allah?

Berdasarkan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling disukai Allah? Dan apakah amalan yang paling disukai Allah?

Nabi Muhammad SAW menjawab, “Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seseorang Muslim, atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku suka daripada beriktikaf di masjid selama sebulan.” (Hadis riwayat at-Thabrani)

Asnaf atau penerima manfaat merujuk kepada orang yang mendapat manfaat atau keuntungan daripada orang yang memberi manfaat. Dalam konteks Islamic Relief Malaysia (IRM), penerima manfaat IRM terdiri daripada golongan fakir, miskin, ibu tunggal, anak yatim, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan lain-lain.

Pemilihan mereka sebagai orang yang layak menerima manfaat adalah berdasarkan penilaian yang ketat dari pihak IRM bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Nor Zafirah (kanan) bersama kanak-kanak pelarian di Somalia.

Dalam menjalankan setiap misi bantuan, roh kemanusiaan perlu diterapkan dan ditanam di dalam jiwa setiap petugas supaya apa yang dilakukan lahir dari hati yang ikhlas sehingga dapat menjiwai perasaan penerima manfaat.

Menerusi pelbagai projek bantuan seperti Pembangunan Komuniti, Ramadhan Relief, Qurban, Cheer to School dan pelbagai lagi, setiap kakitangan IRM digalakkan untuk turun ke lapangan bagi melihat dan merasai sendiri kehidupan getir dan penuh cabaran yang dilalui oleh golongan tersebut.

Dengan itu, beberapa kelebihan akan diperoleh antaranya ialah dapat mewujudkan rasa kehambaan dengan menziarahi saudara kita. Selain sangat dituntut agama, ia dapat mengingatkan bahawa kita hanyalah seorang hamba yang layak diuji oleh Pencipta kita.

Menyantuni pesakit katarak di Bangladesh.

Misi ini juga dapat meningkatkan rasa syukur dalam diri petugas. Apabila melihat kehidupan orang lain yang lebih susah, rasa syukur dengan apa yang dimiliki akan terbit dalam diri. Dengan melihat penderitaan insan lain yang dilalui dengan penuh kepayahan, boleh membuatkan petugas insaf dan redha dengan takdir yang ditentukan Ilahi.

Pengalaman bergaul dengan penerima manfaat ini juga banyak memberi iktibar kepada petugas, dan dikongsikan kepada pihak lain untuk menjadi sumber inspirasi buat mereka.

Rasulullah S.A.W dengan akhlak baginda yang terpuji seringkali menggauli golongan asnaf ini. Bahkan, baginda berwasiat kepada Abu Dzar agar mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka;

Dari Abu Dzar Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Kekasihku (Rasulullah) SAW berwasiat kepadaku dengan tujuh hal: (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka,(2) beliau memerintahkan aku agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku…” (Hadis Riwayat At-Tabrani dan Ahmad)

Oleh itu, perhatikanlah di sekeliling kita. Masih adakah golongan ini yang perlu kita santuni? Jika tiada, carilah. Carilah kerana mereka sebenarnya ada di celah-celah kehidupan kita. Di sebalik warna-warni hiasan duniawi, terselit hamparan kusam yang perlu diwarnai. Bantu dengan seikhlas hati. Jika tidak melalui sumbangan wang, bantulah mereka dengan tenaga, kata-kata semangat dan doa yang boleh menjadi penguat diri mereka.

* Nor Zafirah Zahari, Petugas Islamic Relief Malaysia

Leave a Reply