Mansuh Akta Antiberita Tak Benar tindakan terburu-buru

Last Updated on

Dr. Muhammad Fathi

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan kembali Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan Ogos tahun lalu dengan melakukan beberapa penambahbaikan.

Menurut pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, akta itu mempunyai peranan dan kebaikan tersendiri untuk mengawal penyebaran berita tidak benar dengan cepat dan segera.

Justeru langkah kerajaan memansuhkan akta itu dilihat satu tindakan yang terburu-buru tanpa mengambil kira kesan pada masa akan datang, katanya.

“Secara dasarnya akta ini sangat baik untuk membendung penyebaran berita palsu terutamanya yang semakin berleluasan di laman sosial ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah katanya, akta yang mula diperkenalkan April tahun lalu itu pernah digunakan untuk menghadapi penyebaran berita tidak benar berkaitan langkah kerajaan ketika pentadbiran BN dalam menangani beberapa jenayah yang berlaku ketika itu.

“Ketika akta itu digunakan terdapat kritikan yang menjurus kepada beberapa aspek. Tetapi ia tidak seharusnya dimansuhkan, cuma perlu meminda beberapa perkara supaya tidak disalahguna demi kepentingan politik,” jelas beliau.

Tambah beliau, meskipun ketika ini terdapat beberapa undang-undang lain di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun mekanisme di bawah akta itu belum mencukupi untuk mengambil tindakan drastik dan cepat terhadap penyebaran berita palsu.

Terdahulu, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diwartakan oleh kerajaan BN pada April tahun dimansuhkan 16 Ogos tahun sama selepas PH mengambil alih pentadbiran negara.

Pemansuhan itu diluluskan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *