UMMAH bantah penghapusan hukuman mati

Last Updated on

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan hukuman mati – Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sedia menganjurkan himpunan bantahan secara besar-besaran bagi mendesak kerajaan untuk tidak meneruskan rancangan pemansuhan hukuman mati di negara ini sekiranya bantahan dibuat melalui memorandum tidak dilayan.

Pengerusinya, Aminuddin Yahya, berkata, Ummah tetap dengan pendirian menentang cadangan berkenaan atas sebab-sebab kritikal demi membela hak 33 juta rakyat di negara ini berbanding hak penjenayah.

Menurutnya, sidang meja bulat yang disertai 80 NGO termasuk tokoh-tokoh pelbagai bidang termasuk mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pelbagai peringkat aktivis, pengamal perundangan serta syariah, dan ahli-ahli akademik juga sepakat menentang cadangan yang disifatkan akan memberi impak negatif terhadap keselamatan dan ekonomi negara.

“Kerajaan perlu menangguhkan rang undang-undang bagi menghapuskan hukuman mati. Hukuman mati perlu dikekalkan dan berikan kebebasan kepada hakim untuk menentukan hukuman yang wajar berdasarkan kepada fakta kes secara keseluruhan termasuk menjatuhkan hukuman mati bagi kes-kes serius.

“Satu memorandum akan dihantar kepada ahli-ahli Parlimen dan juga Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.”

“Sekiranya kerajaan mengabaikan bantahan ini, kita akan buat himpunan lebih besar dari (himpunan) ICERD,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Meja Bulat Ummah, di sini, hari ini.

Aminuddin menjelaskan, dalam isu pemansuhan hukuman mati, kerajaan harus fikirkan dan beri keutamaan terhadap kepentingan awam.

“Kadar jenayah akan meningkat jika hukuman mati dihapuskan dan ia telah terbukti di negara-negara yang telah memansuhkan hukuman tersebut apabila jenayah meningkat sehingga 125 peratus.”

“Ia juga akan menyebabkan pembaziran terhadap wang pembayar cukai apabila perlu menanggung kos sara hidup bantuan dalam penjara yang dianggarkan lebih RM5 kita untuk tempoh 30 tahun sedangkan ia boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih memberi manfaat dalam bidang pendidikan dan kesihatan misalnya,” katanya.

Sinar Harian melaporkan persidangan meja bulat berlangsung lebih 2 jam itu bagi membincangkan kesan keputusan pemansuhan hukuman mati secara umumnya dan kaitan dengan kes pembunuhan Allahyarham Muhamad Adib secara khususnya.

Aminuddin berkata, dalam kes Muhamad Adib, Ummah meragui ketelusan Peguam Negara (AG) dalam menangguhkan pendakwaan terhadap pembunuh Adib dan sebaliknya melengahkan dengan menjalankan prosiding inkues.

“Kita tidak bersetuju dengan tindakan adakan inkues tetapi kita hormat keputusan AG dan akan menunggu hasil laporan daripada inkues tersebut,” ulas beliau.

Dalam masa sama, ujarnya, Ummah juga sedang berbincang sama ada wajar untuk keluarga Allahyarham Adib untuk menuntut laporan forensik.

“Hanya keluarga yang berhak untuk membuat tuntutan. Ini kerana berdasarkan apa yang dimaklumkan 95 peratus dari siasatan atau sebab kematian adalah berdasarkan laporan forensik.”

Tambah beliau, “Rakyat mahu tahu perkara sebenar yang berlaku berdasarkan laporan ini kerana kita mahu ia bukan berdasarkan sentimen tetapi berdasarkan fakta.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *