100 tentera kanak-kanak dibebaskan di Sudan

Last Updated on

Kanak-kanak Sudan dikerah untuk menjadi tentera Gerakan Kebebasan Nasional Sudan Selatan – Foto Sinar Harian

ANKARA, 13 Februari – Lebih 100 tentera kanak-kanak dibebaskan oleh kumpulan bersenjata di Sudan Selatan pada Selasa, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan UNICEF.

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik berita Bernama, pembebasan seramai 119 itu menjadikan jumlah keseluruhan yang telah dibebaskan setakat ini meningkat kepada 3,100 sejak tercetusnya konflik pada 2013. Antaranya termasuk 48 kanak-kanak perempuan.

Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore menyeru semua pihak di Sudan Selatan komited mempertahankan hak kanak-kanak dan memastikan mereka tidak menjadi tentera.

Kanak-kanak dibebaskan itu dikaitkan dengan Gerakan Kebebasan Nasional Sudan Selatan, yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2016.

Pihak UNICEF turut menyediakan pekerja sosial, pegawai kesihatan dan pakar pendidikan untuk menilai keperluan kanak-kanak terbabit.

Setiap kanak-kanak diberikan sokongan selama tiga tahun untuk membantu mereka kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa dan mengelakkan mereka kembali menjadi askar.

Masih terdapat puluhan ribu kanak-kanak yang berkhidmat sebagai tentera, kata UNICEF.

Sejak Februari 2018, lebih 1,000 kanak-kanak dibebaskan oleh pelbagai kumpulan bersenjata.

Leave a Reply